Mohamad Sabu seru politik nilai dan perpaduan di Majlis Rahmah Mesra Sulabayan

FOTO BERITA: Majlis rahmah mesra & minum petang bersama YB Mohamed Sabu Presiden Amanah & YB Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir Setiausaha BN Timbalan Presiden Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa, Datuk Lahirul Latigu Pengerusi Negeri dan calon N.64 Sulabayan Uts Zulfiqar Ab Mijan dan calon N.66 Bugaya Abdul Manan Indanan di BGU Pakatan Harapan (PH) gKg Belimbang N.64 Surabayan Semporna Sabah. 26hb November 2025 (Rabu)

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu, menyeru rakyat Sabah agar terus mengukuhkan budaya politik matang dan sejahtera, berteraskan nilai rahmah, ketika berucap dalam Majlis Rahmah Mesra & Minum Petang anjuran Pakatan Harapan (PH) di BGU gKg Belimbang, N.64 Sulabayan. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Agung BN, YB Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir, Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, Pengerusi AMANAH Sabah, Datuk Lahirul Latigu, serta dua calon kerajaan perpaduan di kawasan Semporna iaitu calon N.64 Sulabayan, Uts Zulfiqar Ab Mijan, dan calon N.66 Bugaya, Abdul Manan Indanan.

Dalam ucapannya, Zambry mendedahkan bahawa Zulfikar merupakan anak saudara kepada mantan ADUN Sulabayan, Abdul Manan Indanan, yang kini bertanding di DUN Bugaya. Beliau menjelaskan hubungan kekeluargaan itu menjadi antara faktor yang mengukuhkan kerjasama di kedua-dua kawasan.

Majlis yang bertemakan semangat “Rahmah dan Kebersamaan” itu menjadi ruang pertemuan antara kepimpinan nasional, negeri, dan akar umbi bagi memperkukuh kerjasama politik antara PH dan BN di Sabah, menjelang tempoh kempen yang semakin rancak.

Kehadiran pimpinan tertinggi kedua-dua gabungan kerajaan itu dilihat sebagai tanda kesepakatan strategik yang semakin kukuh, terutama dalam menghadapi persaingan banyak penjuru di kawasan Semporna.

Majlis Rahmah Mesra & Minum Petang itu berlangsung dalam suasana santai dan harmoni, dengan masyarakat setempat berpeluang berdialog, bergambar serta beramah mesra bersama pimpinan pusat dan negeri. Acara tersebut menjadi medan pengukuhan hubungan antara rakyat dan pemimpin, selain menguatkan momentum kempen di kawasan Sulabayan dan Bugaya.









