Tok Mat minta maaf…

Demi tidak mahu timbul sebarang aduan terhadap kaedah digunakan untuk menyelamatkan rakyat Malaysia terkandas di Hatyai, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan terlebih dahulu menjelaskan bahawa mereka terpaksa mengangkut mangsa-mangsa menggunakan kontena.

Di Dewan Rakyat hari ini, Mohamad atau Tok Mat berkata, penggunaan kontena terpaksa digunakan bagi membolehkan pemindahan selamat kumpulan rakyat Malaysia ketika kenderaan kecil dan bas tidak dapat melalui kawasan dinaiki air.

“Tapi…jangan kalau ada yang complain nanti…minta maaf saya nak beritahu, kita gunakan kontena (untuk pindahkan mangsa banjir di Hatyai) kerana lori-lori kecil tak boleh lalu, bas pun tidak boleh lalu.

“Kita gunakan kontena, duduk ramai-ramai macam pemerdagangan manusialah agaknya Yang Dipertua. Duduk di dalam kontena dan kita bawa sampai ke Bukit Kayu Hitam.

“Dari Sadau nak ke Bukit Kayu Hitam masih tak boleh guna kenderaan ringan. Jadi kita gunakan kontena. Tapi hari ini kita sudah boleh gunakan bas,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamad berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Wong Shu Qi (PH-Kluang) mengenai langkah segera membantu rakyat Malaysia yang terkandas dan langkah pencegahan menghadapi musim banjir di Selatan Thailand.

Sementara itu beliau menasihatkan rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan ke Thailand sehingga hujan lebat dan monsun timur laut berakhir pada Disember