Tunaikan janji di negeri PN sendiri sebelum tabur janji baharu di Sabah

Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor menegur Perikatan Nasional (PN) yang terlalu ghairah menabur pelbagai janji politik di Sabah, meskipun rekod pentadbiran gabungan itu di negeri-negeri yang mereka kuasai masih belum menunjukkan penyelesaian terhadap janji-janji manifesto terdahulu.

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan, berkata tindakan PN itu hanya menyerlahkan budaya retorik politik tanpa asas dan memperlihatkan kecenderungan menabur janji baharu walaupun janji lama masih tergantung.

Menurutnya, jika PN benar-benar serius mahu menawarkan perubahan kepada rakyat Sabah, gabungan itu perlu terlebih dahulu membuktikan keupayaan mereka dengan melunaskan janji sedia ada di negeri pentadbiran mereka.

“PN memang terkenal dengan budaya menabur janji, tetapi apabila tiba masa menunaikannya, berdolak-dalik pula yang menjadi amalan.

“Ini menunjukkan kelemahan jelas terhadap komitmen mereka menjaga kebajikan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, PN menampilkan 12 tunjang dan 159 tawaran dalam manifestonya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Antara janji utama yang diumumkan PN ialah pelaksanaan bantuan tunai RM4,800 setahun khusus kepada keluarga miskin tegar dan golongan memerlukan.

Mengulas lanjut, AMANAH Johor menyifatkan langkah PN memperhebat janji politik di Sabah sebagai tindakan yang tidak berpijak pada reality.

Apatah lagi, bidasnya, PN tidak mempunyai rekod pencapaian yang boleh dijadikan sandaran dan hanya sibuk melontarkan tohmah dan fitnah bagi meraih sokongan.

Aminolhuda turut mengkritik calon-calon PN di Sabah yang didakwa hadir dengan slogan kosong tanpa memahami realiti isu tempatan seperti kemiskinan, infrastruktur asas, akses pendidikan serta peluang ekonomi.

“Tiada dasar pro-rakyat yang menonjol dan tiada pembaharuan bermakna yang membawa kesan kepada kehidupan masyarakat,” tegas Aminolhuda.

Justeru, AMANAH Johor menyeru PN menghentikan pendekatan politik kosmetik dan fokus kepada tanggungjawab sebenar dengan menyelesaikan janji mereka sendiri sebelum membuat janji baharu kepada rakyat Sabah.

“Rakyat Sabah berhak mendapat kepimpinan yang benar-benar memahami nasib mereka bukan janji kosong yang hanya muncul ketika pilihan raya,” tegas beliau lagi.