Azam arah siasatan dipercepat, Shamsul, Albert Tei dan Sofia Rini ditahan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melengkapkan siasatan berkait tuduhan terhadap bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, dalam tempoh seminggu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengarahkan pasukannya untuk berbuat demikian dan menegaskan bahawa siasatan terhadap Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin perlu dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk keputusan secepat mungkin.
Bercakap dalam siaran video melalui laman TikTok SPRM hari ini, Azam turut menekankan bahawa SPRM akan menyiasat kes itu secara profesional dan adil berlandaskan lunas undang-udang.
Beliau turut memberitahu pihaknya telah menahan Shamsul Iskandar; ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei; dan wanita dikenali sebagai Sofia Rini Buyong, hari ini.
“Mana-mana pihak yang mempertikaikan tindakan penahanan ketiga-tiga individu berkenaan, mempunyai hak untuk mempertikaikannya di mahkamah.
“Saya juga menyeru semua pihak untuk bersabar dan jangan membuat spekulasi dalam kes ini,” tegas beliau lagi.
BACA JUGA Anwar ingatkan menteri, tiada pegawai akan dilindungi jika…