Calon PH Sulabayan ajak pengundi buat perubahan esok

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Sulabayan, Ustaz Zulfikar Ab Mijan, menyeru para pengundi keluar awal menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian esok.

Beliau turut mengingatkan mereka supaya membawa kad pengenalan dan memastikan undian dibuat dengan tepat.

Tegasnya, calon nombor 4, iaitu calon PH adalah pilihan terbaik untuk membawa suara rakyat Sulabayan ke peringkat negeri.

“Dalam kertas undi nanti, saya seorang sahaja yang memakai nama ‘ustaz’.

“Pastikan undi tuan-tuan tidak tersalah,” katanya dalam Ceramah Perdana dan Kenduri Rakyat bersama Pimpinan AMANAH Nasional malam ini.

Ustaz Zulfikar turut menjelaskan bahawa sokongan kepada PH penting kerana calon parti itu berada bersama Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, gabungan itu mampu memastikan pembangunan yang lebih teratur dan masa depan yang lebih baik untuk penduduk kawasan tersebut.

“Esok kita akan menentukan masa depan DUN Sulabayan. Jangan leka, jangan lalai.

“Ini ruang kita untuk buat perubahan,” ujarnya sambil mengharapkan sokongan dan momentum pengundi terus kekal hingga hari mengundi.

BACA JUGA Sabah berhak nikmati pembangunan tersusun, doa proses demokrasi berjalan matang