Pembangunan perkampungan atas air Kampung Sembulan tumpuan calon PH Tanjung Aru

Calon Pakatan Harapan Tanjung Aru, Datuk Chan Foong Hin mahu merapatkan jurang pembangunan di Tanjung Aru terutamanya pembangunan semula perkampungan atas air Kampung Sembulan.

“Jika saya diberi mandat untuk memimpin di Tanjung Aru, saya mahu pastikan kebajikan penduduk Kampung Sembulan menjadi keutamaan dalam apa-apa rancangan pembangunan semula.

“Hak dan masa depan penduduk di sini adalah keutamaan saya. Penduduk kampung di Sembulan perlukan satu kediaman yang selamat dan selasa.

Beliau memberi jaminan akan memperjuangkan isu hak milikan rumah selepas pembangunan, penempatan sementara dan pemindahan hanya dengan persetujuan penduduk

“Penduduk asal yang terlibat dengan Skim Pembangunan Semula Bandar Sembulan mesti diberikan hak milik penuh atau strata unit apartmen mereka secara percuma selepas projek siap. Ini memberi mereka aset tetap yang sah.

“Saya akan pastikan tiada pemindahan dilakukan tanpa kelulusan dan penglibatan penduduk.

“Sepanjang tempoh pembangunan, penduduk mesti diberikan tempat tinggal sementara, supaya mereka tidak terbeban dan dapat hidup selesa.”

Chan yang juga Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi berdepan pertandingan sembilan penjuru untuk merampas kerusi Tanjung Aru dari cengkaman Warisan dalam pilihan raya negeri Sabah esok.

BACA JUGA: Demi kepentingan Sabah, GRS bekerjasama dengan PH