Sabah berhak nikmati pembangunan tersusun, doa proses demokrasi berjalan matang

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu, menegaskan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk memastikan rakyat Sabah menikmati pembangunan yang adil, tersusun dan berkesan ketika mengunjungi Bilik Gerakan calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Bugaya.

Dalam lawatannya sebelum berangkat pulang ke Putrajaya, Mohamad yang lebih mesra disapa Bang Mat menyatakan beliau melihat sendiri komitmen jentera parti yang bekerja keras bagi memastikan proses demokrasi semasa pilihan raya negeri berjalan lancar dan teratur.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa memberi perhatian serius terhadap kebajikan rakyat Sabah.

Ia terutama, jelasnya, dari segi tadbir urus yang baik dan pelaksanaan dasar yang cekap supaya manfaat pembangunan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukannya.

Dalam masa sama, Mohamad turut mendoakan agar proses demokrasi kali ini berlangsung dengan aman dan matang, serta kemenangan diberikan kepada calon yang mampu berkhidmat dengan baik kepada rakyat dan seiring dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Sabah sebuah negeri besar, kaya potensi, dan rakyatnya berhak menikmati pembangunan yang adil serta berkesan.

“Insya-Allah, kita terus bekerja untuk kebaikan semua,” kata beliau lagi.

BACA JUGA Azam arah siasatan dipercepat; Shamsul, Albert Tei dan Sofia Rini ditahan