AMANAH hargai jentera, kerjasama Kerajaan Perpaduan di Sulabayan
Parti Amanah Negara (AMANAH) merakamkan penghargaan mendalam kepada seluruh jentera parti serta rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH) yang telah bekerja tanpa henti sepanjang kempen di DUN N.64 Sulabayan, termasuk pada hari pembuangan undi.
Dalam kenyataan rasmi malam ini, AMANAH menegaskan bahawa semangat, disiplin dan kesungguhan jentera parti sepanjang tempoh kempen membuktikan komitmen tinggi mereka dalam perjuangan membela rakyat, meskipun keputusan pilihan raya tidak memihak kepada calon gabungan itu.
“Semangat, disiplin dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua jentera parti amat membanggakan dan menjadi bukti komitmen yang tinggi terhadap perjuangan membela rakyat,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan khusus kepada jentera Barisan Nasional (BN) serta semua komponen Kerajaan Perpaduan yang turut membantu kempen di Sulabayan.
Kerjasama erat itu, kata Mohamad, mencerminkan semangat kebersamaan demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat Sabah.
“Kerjasama ini menggambarkan kesatuan yang penting demi kestabilan negeri dan kepentingan rakyat,” kata beliau.
Selain itu, Mohamad menegaskan bahawa AMANAH menghormati keputusan pengundi Sulabayan dan menerima sepenuhnya pilihan yang dibuat rakyat.
“Itulah hakikat dan keindahan demokrasi. Rakyat adalah penentu hala tuju negeri ini,” katanya sambil mendoakan agar Sabah terus maju dan makmur di bawah kepimpinan yang diberi mandat.
Walaupun tewas di Sulabayan, AMANAH menegaskan bahawa perjuangan mereka tidak akan terhenti.
Sebaliknya keputusan itu dijadikan ruang untuk melakukan muhasabah, memperbaiki kelemahan serta menyusun strategi yang lebih tersusun bagi menghadapi cabaran mendatang.
“Setiap cabaran adalah ruang untuk memperbaiki diri dan mengukuhkan kekuatan. Perjuangan ini akan diteruskan dengan iltizam yang lebih jitu,” tegas parti itu.
BACA JUGA PH, GRS cukup jumlah bentuk kerajaan malam ini