Ditahan reman 6 hari, Shamsul Iskandar perlu rawatan bagi pelbagai penyakit
Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin direman enam hari selepas Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini membenarkan permohonan berkenaan.
Majistret Fatin Muneerah Sofian mengeluarkan perintah itu dalam prosiding di hadapan bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya dan Bukit Katil itu.
Peguam Yusmadi Yusoff yang mewakili Shamsul berkata, perintah reman itu diberikan mahkamah selepas mengambil kira anak guamnya memerlukan rawatan bagi pelbagai penyakit.
Perintah reman itu bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Ia susulan kes klip video memaparkan perbualan antara seorang wanita dikenali sebagai Sofia Rini Buyong dan seorang ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei.
Peruntukan mengikut Seksyen 16 membabitkan kesalahan meminta atau menerima atau bersetuju untuk menerima rasuah.
Ia juga membabitkan kesalahan secara rasuah memberikan, menjanjikan atau menawarkan suapan atau dorongan.
Pada 9 pagi tadi, Shamsul, 51, dan Tei, 37, yang berbaju lokap berwarna oren oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di Kompleks Mahkamah Putrajaya dalam keadaan bergari.
BACA JUGA Shamsul, Tei bergari dibawa ke mahkamah