PM Anwar pertegas sinergi ulama dan umara diperkukuh

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kehadiran ramai ulama terkemuka dari seluruh dunia dalam Majlis Khatam Sama’ Hadis Sahih Muslim Antarabangsa 2025 mampu terus mengukuhkan sinergi antara ulama dan umara.

Menurutnya, program yang berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya semalam menjadi medan perhimpunan ilmu apabila ribuan hadirin bersama para ulama tersohor dari pelbagai negara berkumpul bagi meraikan tradisi keilmuan Islam.

Anwar yang juga tokoh Muslim paling berpengaruh ke-10 dalam edisi 2026 buku The World’s 500 Most Influential Muslims itu berpendapat pertemuan berkenaan memperkukuh syiar Islam di peringkat antarabangsa.

Majlis tersebut diserikan dengan syarahan perdana para ulama, termasuk Mufti Besar India, Al-Allamah Sheikh Abu Bakar Ahmad Al-Malibari, serta masyaikh dari Yaman, Mesir, Bahrain, Tunisia, Indonesia dan Malaysia.

“Dalam tausiah, Sheikh Abu Bakar turut menegaskan kepentingan Sahih Bukhari dan Sahih Muslim sebagai rujukan utama umat Islam, di samping menganjurkan penghayatan kitab-kitab hadith lain seperti Sunan Tirmizi bagi memperluas kefahaman dan penguasaan ilmu.

“Dalam ucapan ringkas, saya menekankan usaha untuk mengaplikasikan teknologi moden dalam pengajian Islam, termasuk pemahaman al-Quran dan khatam hadith, agar ilmu terus berkembang seiring tuntutan zaman,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.

Dalam masa sama, Anwar turut menegaskan komitmen kerajaan untuk terus memikul amanah memperbaiki kesejahteraan rakyat melalui agenda seperti transisi tenaga, pembangunan ekonomi mampan, serta mempertahankan nilai karamah insaniah, akhlak dan keyakinan agama sebagai teras Malaysia MADANI.

BACA JUGA Amaran hujan berterusan di 8 negeri, wilayah sudah tamat