Nurul Izzah ambil tanggungjawab penuh kekalahan PKR di Sabah

Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bersedia mengambil sepenuh tanggungjawab terhadap kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berlangsung semalam.

Beliau berkata, PKR menghormati dan menerima dengan rendah diri keputusan rakyat Sabah di mana beliau yakin keputusan ini mencerminkan sentimen rakyat terhadap isu tadbir urus, ketelusan, dan kepimpinan lokal.

Katanya, mesej yang jelas bahawa ketidaksepakatan bukan sahaja melemahkan kekuatan politik, bahkan menghakis keyakinan rakyat terhadap keupayaan parti menawarkan kepimpinan yang stabil dan bertanggungjawab.

“Bersama Datuk Seri Saifuddin Nasution selaku Pengarah Pilihan Raya Bersama, kami sedar bahawa perjalanan panjang sebuah perjuangan bukan terletak pada kemenangan semata-mata, tetapi pada kesediaan untuk menginsafi kelemahan, memperbaikinya, dan bangkit semula dengan lebih baik. 

“Saya selaku Timbalan Presiden mengambil tanggungjawab sepenuhnya secara kolektif sebagai sebuah pasukan atas keputusan ini,” katanya dalam satu kenyataan bersama dengan Saifuddin di Facebook sebentar tadi.

PKR tewas di 12 kerusi berbanding 13 kerusi yang ditandinginya. Hanya 1 kerusi sahaja selamat iaitu di DUN Melalap, dimenangi Datuk Jamawi Ja’afar.

BACA JUGA 389 calon hangus wang deposit, ini senarai penuh ikut parti