Tidak benar gelombang merah tidak diterima di Sabah
OLEH AHMAD ASRI TALIB
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akhirnya berkesudahan dengan Presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah Ke-17 awal pagi di Istana Seri Kinabalu.
Hajiji yang juga ADUN Sulaman itu mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman antara jam 3 hingga 3.15 pagi.
Kita dihdangkan dengan 389 calon hilang deposit dalam PRN Sabah termasuklah Presiden PIS.
Begitu banyak parti yang bertanding kehilangan wang deposit, antara berikut adalah senarai penuh parti yang hilang deposit dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17:
- Parti Impian Sabah (PIS): 72 calon
- Bebas: 60 calon
- Perikatan Nasional (PN): 36 calon
- Parti Solidariti Tanah Airku (STAR): 36 calon
- Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM): 30 calon
- Parti Warisan (Warisan): 23 calon
- Parti Kebangsaan Sabah (PKS): 20 calon
- Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri): 17 calon
- Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS): 16 calon
- Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO): 15 calon
- Parti Bumi Kenyalang (PBK): 14 calon
- Barisan Nasional (BN): 12 calon
- Parti Rumpun Sabah (Rumpun): 7 calon
- Parti Maju Sabah (SAPP): 6 calon
- Parti Perjuangan Rakyat (PR): 6 calon
- Parti Damai Sabah (SPP): 5 calon
- Parti Bangsa Malaysia (PBM): 3 calon
- Pertubuhan Gemilang Anak Sabah (GAS): 3 calon
- Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi): 3 calon
- Pakatan Harapan (PH): 2 calon
- Parti Bersatu Sasa Malaysia (BERSAMA): 1 calon
- Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (PERPADUAN): 1 calon
Apabila diteliti angka di atas, Pakatan Harapan (PH) hanya hilang 2 deposit calon. Barisan Nasional (BN) hilang 12 deposit calon, manakala Perikatan Nasional (PN) hilang 36 deposit calon.
Ini menunjukkan bahawa gelombang merah atau Pakatan Harapan semakin diterima rakyat Sabah, dengan hanya 2 calon sahaja yang hilang deposit berbanding dengan parti-parti yang lain.
Sebelum ini, tidak ada yang memberi perhatian kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tetapi PMX bersedia mendengar pimpinan Sabah.
Komitmen serta usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyelesaikan isu berhubung isu MA63 adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu dan diharapkan oleh rakyat di Sabah. Keyakinan inilah antara penyebab kesedaran pengundi mengundi PH di Sabah.
Perdana Menteri mewakili Jemaah Menteri dan Kerajaan Persekutuan. Soal 40 peratus itu hak Sabah dalam Perlembagaan. Kerajaan tidak merayu. Yang dirayu ialah aspek penghakiman yang tertentu, jadi kerajaan teruskan rundingan dengan tertib.
Kepercayaan sebahagian pengundi Sabah terhadap isu ini telah memastikan PH tidak kehilangan deposit, walau hanya menang 1 kerusi di DUN Melalap.
Kadar pemberian khas Kerajaan MADANI kepada Sabah bagi tahun 2025 meningkat kepada RM600 juta berbanding RM26.7 juta pada 2019.
Perdana Menteri memaklumkan pembayaran penuh telah disalurkan kepada Kerajaan Negeri Sabah pada 10 September lalu.
Beliau juga memaklumkan jumlah itu bersifat interim, sementara kaedah baharu ditetapkan bersama Kerajaan Sabah bagi menentukan formula pemberian khas yang lebih adil dan mampan.
Pengundi Sabah mula sedar dengan keikhlasan yang dipamerkan dan mereka melakarkan dalam undi kepada PH, dengan hanya hilang 2 deposit calon dari 22 kerusi yang bertanding.
Di Semenanjung, gelombang merah bakal diuji pada PRU16 yang bakal menjelang. Situasi kerajaan gabungan kini menunjukkan kesepakatan antara parti amat kukuh antara satu sama lain.
Tinggal lagi kekuatan gabungan ini mesti diperkukuhkan dalam percaturan pembahagian kerusi dalam PRU16 kelak.
Jangan ada pertindihan kerusi antara parti gabungan jika ingin mengekalkan kerajaan yang ada. Perlu kebijaksanaan dan toleransi antara parti gabungan.
Kerugian besar pada PRU17 Sabah yang baharu disebabkan terlalu banyak kerusi bertindih sehinggakan memberi ruang kepada Warisan dan beberapa parti untuk menang termasuk 5 calon bebas.
Rakyat Semenanjung ramai yang telah meyokong kepimpinan Perdana Menteri yang mahu rakyat sehingga peringkat akar umbi terutama golongan miskin dan miskin tegar dapat menikmati pelbagai inisiatif yang disediakan dalam Belanjawan 2025.
Antara inisiatif penting belanjawan itu ialah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang dinaikkan kepada RM13 bilion dalam Belanjawan 2025 berbanding RM10 bilion sebelum ini.
Sekarang SARA telah diluaskan kepada 700,000 orang, STR pula telah mencecah sembilan juta orang, maknanya sekarang kesemua B40 juga M40 dapat manfaat.
Maka gelombang merah setidaknya bakal mendapat tautan hati pengundi di semenanjung pada PRU16 nanti, sekali gus menafikan yang mengatakan gelombang merah tidak diterima atau gelombang merah lemah.
Ahmad Asri Talib merupakan Naib Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan