Varieti padi MR333: Mat Sabu mahu pesawah rasa hasil titik peluh sendiri

Dalam usaha negara meningkatkan pengeluaran beras tempatan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) kini berjaya membangunkan varieti padi baharu yang dinamakan MR333 (Menora).

Varieti ini mempunyai potensi hasil yang tinggi, mencecah 9.9 tan sehektar, serta lebih tahan terhadap penyakit.

Ini bermakna pesawah boleh mendapat pulangan yang lebih baik, kos risiko lebih rendah, dan hasil dapat dituai dengan lebih stabil.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, inisiatif seperti ini sangat penting untuk mengangkat pendapatan pesawah dan pada masa yang sama mengukuhkan jaminan makanan negara. 

“Kita ingin pastikan Malaysia mampu berdiri lebih gagah dalam pengeluaran beras, dan pesawah menikmati manfaat yang sewajarnya daripada titik peluh mereka.

“Insya-Allah, kementerian akan terus menyokong usaha penyelidikan dan inovasi demi kesejahteraan petani serta masa depan sektor agromakanan negara,” ujarnya.