Isteri Albert Tei tuntut SPRM buat ini dalam tiga hari
Isteri Albert Tei, Lee Pei Rie telah membuat tuntutan menerusi peguamnya agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memberikannya inventori rampasan dan semua harta yang dirampas dikembalikan dalam tempoh tiga hari.
Rampasan tersebut telah dibuat semasa serbuan oleh SPRM pada 28 Nov dan Tei ditahan ketika itu.
“Kami dengan ini menuntut, dalam tempoh tiga (3) hari dari tarikh surat ini :
Pengeluaran serta-merta inventori rampasan penuh yang ditandatangani (Seksyen 31). Tuan mesti menyediakan:
- senarai lengkap dan berbutir setiap item yang dirampas;
- perihalan penuh dan nombor pengecam (jika ada) bagi setiap item;
- nama, pangkat, dan nombor staf pegawai yang menjalankan rampasan;
- tarikh dan masa rampasan bagi setiap item; dan
- pengesahan bahawa senarai ini kini telah disampaikan dengan sewajarnya kepada Anakguam kami seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.
Tuntutan bertarikh 30 Nov telah difailkan oleh firma guaman Raj & Sach.
Turut dituntut ialah pengembalian serta merta semua item yang tiada asas untuk terus ditahan.
Menurut firma guaman tersebut, tindakan SPRM tidak mematuhi seksyen 31 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 – Senarai Rampasan Mandatori dan seksyen 34 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 – Pemeliharaan.
Seksyen 31 mewajibkan pegawai SPRM menyenaraikan senarai lengkap, menandatangani dan memberikan salinan serta-merta kepada pihak yang hartanya dirampas.
Seksyen 34 pula mensyaratkan SPRM memberi akuan mengenai lokasi barang rampasan disimpan, pihak yang mempunyai jagaan dan asas untuk penahanan berterusan.
Sekiranya SPRM gagal mematuhi dua seksyen di atas, firma guaman Raj & Sach akan memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan:
perintah yang memaksa pengeluaran senarai rampasan;
perintah pemulangan mandatori bagi harta yang ditahan secara tidak sah;
pengisytiharan ketidakpatuhan dan ketidakperlembagaan prosedur.
Aduan rasmi terhadap SPRM juga akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Aduan SPRM dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP).
Selain itu tindakan sivil atau jenayah terhadap SPRM sedang dipertimbangkan.
Tei adalah individu yang sebelum mendakwa bahawa sebilangan ahli politik Sabah telah menerima rasuah daripadanya sebagai imbuhan untuk mendapatkan lesen penerokaan dan perlombongan.
Tei juga individu yang mendakwa bekas setiausaha politik perdana menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin telah menerima sejumlah RM629,000 dalam bentuk tunai, curut premium dan pengubahsuaian dua unit kediaman dalam sebuah video yang tular bersama seorang wanita, Sofia Rini Buyong
Tei, Shamsul dan Sofia Rini kini sedang disiasat dalam tahanan reman.
BACA JUGA: Shamsul, Tei bergari dibawa ke mahkamah