KPM ambil tindakan pegawai terbabit aktiviti songsang

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil serius penglibatan beberapa orang pegawai kementerian itu dalam aktiviti songsang di sebuah kelab kesihatan di ibu negara, Jumaat lepas.

KPM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya telah mengambil tindakan segera terhadap pegawai terlibat.

Kementerian memastikan semua pegawai terlibat tidak lagi berada di mana-mana institusi pendidikan di bawah kementerian itu sehingga proses siasatan selesai dijalankan.

“KPM tidak berkompromi dengan perlakuan tidak bermoral ini. Siasatan dalaman sedang dijalankan,” menurut kenyataan itu.

KPM turut menasihatkan ketua-ketua jabatan di bawah kementerian itu untuk meningkatkan pemantauan dan memastikan kegiatan tidak bermoral dibanteras di setiap peringkat.

Terdahulu media melaporkan seramai 17 penjawat awam terlibat dalam serbuan OPS Songsang di ibu negara.

Serbuan turut melibatkan rampasan kondom dan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk tujuan tidak bermoral.