Rafidah, 3 individu lain dibebaskan selepas disyaki cuba cetus rusuhan

Aktivis kontroversi Kampung Sungai Baru, Rafidah Ibrahim telah dibebaskan pihak polis selepas ditahan kerana disyaki cuba mencetuskan rusuhan semasa Majlis Pecah Tanah di Kampung Sungai Baru.

Rafidah dibebaskan bersama tiga individu lain yang ditahan kelmarin.

Sebelum kejadian, pihak polis telah pun melakukan risikan dan menerima maklumat awal berhubung perhimpunan yang bakal diadakan 

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus menjangkakan kemungkinan wujud ancaman terhadap ketenteraman awam sepanjang majlis tersebut berlangsung.

Atas sebab itu beliau berkata, keempat-empat mereka ditahan mengikut Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan sebarang insiden yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“Kita sudah beri jaminan, penahanan dibuat mengikut Seksyen 105 KPJ kerana kita tidak mahu berlaku apa-apa kejadian yang boleh menjejaskan keselamatan.

“Kadang-kadang bila sesuatu sudah berlaku barulah mahu bertindak dan ketika itu mungkin sudah terlambat. Jadi lebih baik kita ambil langkah pencegahan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau menegaskan, apa sahaja program dalam negara sama ada oleh kerajaan, pihak lain atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO), keselamatan dan ketenteraman awam tetap menjadi keutamaan kami.

BACA JUGA Portal senaraikan Mahathir 10 pemimpin terkaya dunia, betul ke?