Pengguna mula gerakkan boikot terhadap TNG eWallet, apa dah jadi?

Pengguna Touch n Go eWallet kini mula menggerakkan boikot terhadap aplikasi itu selepas ketidakpuasan hati berterusan antara pengguna dan perkhidmatan dompet digital tersebut.

Ia tercetus selepas seorang pengguna media sosial membawa kes ini ke Facebook, mendakwa akaun TNG eWallet miliknya telah disekat pada 11 November tanpa pemberitahuan sedangkan dia mempunyai ribuan ringgit dalam akaun tersebut.

Menurut kronologi didedahkan Kauthar Rozmal, dia telah pun membuat aduan rasmi kepada syarikat terbabit pada 13 November dan hampir setiap minggu dia mengikuti status aduannya.

Namun setelah tiga minggu berlalu, dia mendakwa syarikat terbabit mengambil sikap sambil lewa terhadap aduan pengguna sehinggakan kes itu tergantung begitu sahaja tanpa jawapan konkrit diberikan. 

Dia juga telah memastikan sendiri dengan syarikat tersebut bahawa tiada sebarang transaksi mencurigakan yang membawa kepada sekatan akaun eWallet miliknya.

Lebih memburukkan keadaan, respon balas dari TNG eWallet dianggap menyinggung pengguna kerana cuba menuding kesalahan terhadap pengguna.

Syarikat itu mendakwa, pihaknya telah mengesan satu percubaan daripada individu yang sama (merujuk kepada Kauthar Rozmal) untuk membuka akaun TNG eWallet kedua menggunakan dokumen pengenalan yang telah diubah suai atau disunting.

Tindakan sedemikian kata TNG eWallet, merupakan suatu kesalahan di bawah undang-undang Malaysia serta melanggar Terma dan Syarat platform mereka yang bertujuan melindungi semua pengguna serta memastikan keselamatan sistem.

Susulan respon itu, pengguna tersebut telah pun membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan syarikat terbabit.

Namun tiada sebarang perkembangan terbaru atau respon balas dari TNG eWallet.

Krisis antara pengguna dan syarikat perkhidmatan dompet digital itu tidak berkesudahan selepas pengguna media sosial mula menggerakkan boikot dengan mengeluarkan duit dari aplikasi itu dan meninggalkan rating 1 bintang.

Mereka mengucapkan selamat tinggal TNG eWallet dan menyeru lebih ramai memboikot, menunjukkan ketidakpuasan hati yang memuncak.

BACA JUGA Strategi Anwar–Hajiji menjadi: Warisan dan PN melopong, Kerajaan Perpaduan Sabah kekal utuh