Strategi Anwar–Hajiji menjadi: Warisan dan PN melopong, Kerajaan Perpaduan Sabah kekal utuh
Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bukti bahawa strategi dirangka Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berjaya memastikan Kerajaan Perpaduan kekal memerintah negeri itu, meskipun pada zahirnya parti-parti gabungan seolah-olah tewas di banyak kerusi, kata pemerhati politik, Syam Ghaz.
Menurutnya, kejayaan membentuk kerajaan GRS–BN–UPKO–PH selepas PRN adalah kemenangan sebenar kerana strategi bertanding secara berasingan tetapi bergabung selepas keputusan diumumkan membolehkan gabungan itu mengekalkan majoriti serta menutup ruang Warisan dan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan.
Beliau berpendapat Anwar bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, dilihat sangat peka terhadap sentimen politik Sabah sejak beberapa bulan lalu termasuk isu #Justice4Zara, keputusan Mahkamah Tinggi Sabah berkaitan tuntutan 40 peratus hasil kepada negeri, serta kontroversi blackmail melibatkan Albert Tei yang mencetuskan gelombang Sabah for Sabahan.
“Daripada situlah strategi bertanding sendirian digerakkan.
“Jika mereka bertanding atas satu koalisi besar, sudah tentu lebih banyak kerusi kalah dan Warisan berpeluang membentuk kerajaan bersama PN,” katanya.
Untuk rekod, Kerajaan Perpaduan Sabah kini dibentuk dengan komposisi melibatkan GRS sebanyak 29 kerusi, BN (6), Bebas (5), UPKO (3), PH dan KDM masing-masing satu kerusi.

Mengulas lanjut, Syam berpendapat, komposisi kerajaan negeri kini adalah hampir sama dengan blok kerajaan sebelum PRN, membuktikan strategi mempertahan model GRS–BN–UPKO–PH tetap berjaya.
“Kali ini pun yang menang pasukan sama, yang kalah dan kekal pembangkang tetap Warisan dan PN. Kerajaan GRS-BN-UPKO- PH kekal memerintah,” ujarnya.
Baca rentak
Dalam masa sama, beliau turut memuji langkah UPKO yang mengambil risiko tinggi apabila menteri mereka meletakkan jawatan untuk fokus membawa sentimen Sabah for Sabahan.
Jelasnya, strategi tersebut membuahkan hasil apabila parti tersebut memenangi tiga kerusi.
“Jika UPKO kekal dan tidak dapat baca rentak, nescaya lagi banyak kalah dan Kerajaan Perpaduan tidak cukup kerusi untuk bentuk Kerajaan Sabah,” katanya.
Sementara itu, bagi GRS pula, kata Syam, keputusan tidak mengisytiharkan kerjasama formal dengan BN sebelum PRN dilihat tepat kerana gabungan awal itu boleh menjejaskan peluang mereka berdepan gelombang sentimen pengundi Sabah.
Beliau menambah, pertandingan bertindih antara Warisan dan PH di kawasan bandar, ditambah gelombang akar umbi Sabah for Sabahan, mengakibatkan Warisan tewas teruk walaupun pernah memiliki kerusi tradisi.
“Jika strategi PRN Sabah tersilap sedikit sahaja, Warisan dan PN sudah boleh membentuk kerajaan. Itulah yang pembangkang mahu,” katanya.
Sebaliknya, PN menjadi parti paling terjejas dengan keputusan PRN kali ini.
“PN ibarat ayam gila ke sakok — berkokok mahu jadi kerajaan, tapi tak boleh. Mereka bertanding 41 kerusi, satu sahaja menang, 36 hilang deposit,” katanya sinis.
Walau bagaimanapun, Syam berpendapat kedudukan Warisan sebagai pembangkang kuat adalah baik untuk semak dan imbang di Sabah, sementara PN kekal sebagai pembangkang di Sabah dan di peringkat Persekutuan.
“Meloponglah mereka selepas menghina rakyat Sabah kononnya makan roti Gardenia,” kata beliau lagi.
BACA JUGA DAP mahu laksana agenda reformasi dalam masa 6 bulan selepas kalah teruk di Sabah