Tiada ‘teguran’ terhadap SPRM – PM Anwar
Perdana Menteri menegaskan bahawa bekas Setiausaha Politik Kanannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin tidak diberi ‘layanan istimewa’ oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Membidas sikap tidak puas hati pembangkang terhadap proses siasatan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sama sekali tidak mempertahankan Shamsul Iskandar, malah bekas kakitangannya itu juga menjalani proses tangkapan termasuk digari.
Bahkan, Anwar menegaskan sekali lagi tiada campur tangan atau ‘teguran’ oleh pihaknya terhadap SPRM yang diberi kebebasan sepenuhnya sepanjang proses siasatan terbabit.
“Dalam kes yang sekarang disiasat SPRM. Cuba lihat, hendak suruh buat apa lagi? Orang itu digari dengan baju oren. Saya rasa banyak kes berat yang lain tidak digari pun.
“Tidak puas hati lagi ke? Jadi saya (rasa) setakat itu dan saya tidak tegur sepatahpun kepada SPRM. Saya sudah bagitahu, dia bebas untuk siasat, dia siasatlah. Dia nak suruh apa lagi?
“Saya tidak pertahankan staf (kakitangan) saya. Saya hendak tanya mengapa hendak pertahankan orang lain?” kata Perdana Menteri pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada pagi 29 November lalu, Shamsul yang juga bekas Ahli Parlimen Bukit Katil (2013-2018) dan bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya (2018-2022) berbaju lokap SPRM dan bergari ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Putrajaya.
Shamsul, 51, dan ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei, 37, hadir untuk pendengaran permohonan reman bagi siasatan dakwaan berkait klip video memaparkan perbualan antara seorang wanita dikenali sebagai Sofia Rini Buyong dengan Albert.
BACA JUGA Pengguna mula gerakkan boikot terhadap TNG eWallet, apa dah jadi?