Umar audit Abu Ubaidah: Integriti bukan sekadar kata-kata
Oleh DATUK NIK MOHD HASYUDEEN YUSOFF
Salah seorang sahabat utama Nabi Muhammad SAW yang dijamin syurga, Abu Ubaidah bin Al-Jarrah tidak tukar formula walaupun memerintah berjiran dengan kerajaan Rom.
Apabila saya menghujahkan bahawa tadbir urus adalah satu ciri penting dalam pengurusan Islam, saya akan bawa cerita Khalifah Umar Al-Khattab mengaudit Abu Ubaidah.
Saya sengaja menggunakan terma “audit” bagi membezakan dengan naratif yang biasa disebut di masjid-masjid yang lebih menekankan berkenaan zuhud.
Kaedah menyemak secara bebas ini akan meningkatkan integriti di dalam pengurusan dan sudah diamalkan dari dahulu lagi di dalam tradisi Islam.
Abu Ubaidah adalah Gabenor Syam, satu wilayah Islam yang terletak bersebelahan dengan wilayah Rom ketika Umar Al-Khattab menjadi Amirul Mukminin.
Dalam logik biasa, kehebatan Rom sudah tentu akan mempengaruhi gaya pentadbiran wilayah-wilayah yang berhampiran dengannya.
Pembesar-pembesar Rom ini memang hamba dunia. Mereka suka hidup di dalam bangunan yang besar, sentiasa ada majlis suka-suka dan seronok mabuk-mabuk dan bermain perempuan.
Sebagai Amirul Mukminin, adalah amalan Umar Al-Khattab untuk memeriksa sendiri gaya hidup gabenor-gabenor di bawah beliau.
Pemeriksaan ini tetap dijalankan ke atas Abu Ubaidah yang sudah tersenarai sebagai salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang dijamin masuk syurga dan digelar sebagai orang yang paling amanah oleh Rasulullah SAW sendiri.
Apabila sampai ke Syam, Umar meminta Abu Ubaidah membawa dia ke rumah Abu Ubaidah.
Abu Ubaidah memberikan amaran kepada Umar “Aku bukan tak nak bawa tetapi aku takut kamu menangis”. Umar berkeras lalu Abu Ubaidah membawa Umar ke rumahnya.
Sampai sahaja di situ, Umar memang menangis. Ini adalah kerana rumah itu kecil dan daif, sekadar cukup untuk hidup.
Gabenor Syam yang merupakan sebuah wilayah hebat dan bersempadan dengan wilayah Rom hidup sebagai seorang miskin, sama seperti kehidupannya sebelum menjadi Gabenor.
Abu Ubaidah tidak menukar formula yang membawa kejayaan baginya ke formula wilayah Rom walaupun hidup berjiran.
Mudah terpesona
Ini adalah satu perkara penting kerana sebagai insan, kita mudah terpesona dengan kesenangan dan boleh mencampakkan formula kejayaan ke formula baharu yang dianggap lebih hebat.
Apa lagi jika seorang yang berjaya itu mula didampingi oleh pelbagai penasihat yang mahu bertenggek di atas kejayaannya.
Di samping itu, kedudukan yang tinggi juga boleh menyebabkan seseorang itu kena menyesuaikan diri dengan pelbagai orang besar yang lain.
Berbalik kepada Umar Al-Khattab, apabila dia melihat sendiri rumah Abu Ubaidah, keluarlah dari mulutnya, “Dunia boleh menipu manusia yang lain tetapi tidak Abu Ubaidah”.
Di antara pemerhatian berkenaan tadbir urus yang saya petik dari episod ini adalah:
1) Tadbir urus kena ada proses yang dijalankan dengan berkesan, ianya bukan sekadar air liur sahaja.
2) Proses berkenaan perlu dilaksanakan ke atas samua orang. Dalam kes Umar dengan Abu Ubaidah ini, seorang ahli syurga tetap mengaudit seorang ahli syurga yang lain.
3) Integriti adalah unsur utama di dalam pengurusan dan ianya hidup di dalam jantung hati orang yang diberikan amanah dan tanggungjawab.
Foto atas: Lukisan Roberto Bompiani ini menggambarkan kehidupan bangsawan di masa lalu.
*DATUK NIK MOHD HASYUDEEN YUSOFF merupakan Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).