Anwar teliti senarai Menteri, keputusan bakal dimuktamadkan
Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan memutuskan senarai Menteri dan Timbalan Menteri Kerajaan MADANI kelak.
Senarai berkenaan akan diputuskan selepas proses pertimbangan yang cermat dan berhemah, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.
“Perdana Menteri akan memutuskan senarai Menteri dan Timbalan Menteri Kerajaan MADANI kelak, selepas proses pertimbangan yang cermat, berhemah dan benar-benar berlandaskan kepentingan rakyat serta hala tuju reformasi negara,” menurut kenyataan itu.
Perdana Menteri sebelum ini memberikan bayangan bahawa beliau tidak akan melakukan rombakan Kabinet secara besar-besaran, sebaliknya hanya akan mengisi kekosongan bagi beberapa jawatan Menteri.
Beliau berkata, ia berikutan tempoh Kabinet di bawah pentadbirannya hanya akan berfungsi selama kira-kira satu setengah tahun saja lagi, sebelum penggal pentadbiran itu berakhir.
Terdapat beberapa kekosongan jawatan Menteri pada masa ini selepas Datuk Seri Rafizi Ramli meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi.
Nik Nazmi Nik Ahmad pula meletakkan jawatan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta Datuk Ewon Benedick sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Pada masa sama, jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) juga kosong berikutan tempoh sebagai Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berakhir.
Menyambut baik
Dalam pada itu, Perdana Menteri menyambut baik pelantikan semula Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua yang berkuat kuasa hari ini.
“Pelantikan ini membolehkan mereka meneruskan tugasan mustahak demi kesinambungan dasar, tatakelola dan agenda reformasi negara selaras dengan gagasan Malaysia MADANI,” katanya.
Terdahulu, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri; Mohd Na’im (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Zambry (Menteri Pendidikan Tinggi) masing-masing mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua.
Upacara mengangkat sumpah berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
Pelantikan semula mereka yang kali pertama mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara pada 3 Disember 2022, berkuat kuasa hari ini sehingga 2 Disember 2028.
BACA JUGA Insentif pelaburan dirombak, kerajaan fokus impak bukan lagi angka gah