“Gelombang Merah” diterima di Sabah – Data Deposit PRN Sabah tunjukkan peningkatan sokongan

FOTO BERITA: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 menyaksikan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah ke-17 pada awal pagi ahad 30hb di Istana Seri Kinabalu. Upacara berlangsung antara jam 3.00 hingga 3.15 pagi di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman.

PRN Sabah kali ini turut mencatatkan jumlah luar biasa calon hilang deposit, iaitu 389 calon, melibatkan pelbagai parti politik serta calon Bebas. Parti Impian Sabah (PIS) mendahului senarai dengan 72 calon hilang deposit, disusuli calon Bebas (60), Perikatan Nasional (36), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) (36), KDM (30) dan Warisan (23).

Menurut Ahmad Asri Talib, Naib Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan, apabila diteliti secara keseluruhan, Pakatan Harapan (PH) hanya kehilangan dua deposit daripada 22 kerusi yang ditandingi. Sebagai perbandingan, Barisan Nasional (BN) kehilangan 12 deposit, manakala Perikatan Nasional (PN) mencatat 36 deposit hilang.

Data tersebut sekaligus menolak dakwaan bahawa “Gelombang Merah tidak diterima di Sabah”. Sebaliknya, ia menunjukkan peningkatan penerimaan terhadap PH, walaupun parti itu hanya memenangi satu kerusi—iaitu di DUN Melalap. Angka deposit ini menjadi isyarat awal perubahan arus sokongan, khususnya dalam konteks landskap politik Sabah yang sering berpecah kepada banyak parti bertanding.

Faktor lain yang dilihat mempengaruhi kecenderungan pengundi ialah pendekatan kerajaan Persekutuan dalam menangani isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini menegaskan komitmen untuk menyelesaikan isu-isu tertunggak, termasuk tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah.

Beliau menekankan bahawa tuntutan tersebut merupakan hak Sabah sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan tidak merayu penafian hak itu, sebaliknya hanya memohon semakan terhadap aspek teknikal penghakiman. Pendekatan ini membina keyakinan sebahagian pengundi Sabah, sekaligus membantu PH mengekalkan sokongan sehingga hanya dua calon mereka kehilangan deposit.

Kerajaan MADANI turut meningkatkan kadar Pemberian Khas kepada Sabah kepada RM600 juta bagi tahun 2025, berbanding RM26.7 juta pada 2019. Pembayaran penuh dilaporkan telah disalurkan pada 10 September lalu, dengan jumlah tersebut bersifat interim sementara formula baharu dirundingkan.

Peningkatan signifikan ini, menurut pemerhati politik, memberi gambaran jelas kesungguhan Putrajaya dalam memperbaiki hubungan Persekutuan–Negeri. Hal ini turut disifatkan sebagai faktor yang menyumbang kepada peningkatan sokongan terhadap PH dalam PRN Sabah.

Peningkatan signifikan ini, menurut pemerhati politik, memberi gambaran jelas kesungguhan Putrajaya dalam memperbaiki hubungan Persekutuan–Negeri. Hal ini turut disifatkan sebagai faktor yang menyumbang kepada peningkatan sokongan terhadap PH dalam PRN Sabah.

Di Semenanjung, Gelombang Merah atau sokongan terhadap PH dan kerajaan gabungan bakal diuji semula dalam PRU16. Kerjasama antara parti gabungan dilihat semakin kukuh, namun penganalisis berpendapat pembahagian kerusi perlu dilakukan secara lebih strategik bagi mengelak pertindihan yang boleh merugikan, sebagaimana berlaku dalam PRN Sabah yang baru berlalu.

Di peringkat nasional, populariti Perdana Menteri diperkukuhkan melalui pelbagai inisiatif kebajikan dalam Belanjawan 2025, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang kini melibatkan lebih sembilan juta penerima dan 700,000 penerima masing-masing. Kesemua golongan B40 dan sebahagian M40 turut mendapat manfaat di bawah program ini.

Meskipun pelbagai dakwaan menyatakan Gelombang Merah semakin lemah, data PRN Sabah ke-17 dan perkembangan sokongan rakyat terhadap dasar kerajaan MADANI menunjukkan sebaliknya. Dengan hanya dua deposit hilang, PH menunjukkan prestasi kompetitif berbanding banyak parti lain yang terjejas lebih teruk.