Jangan ada kegiatan songsang di Pahang – Titah tegas Sultan Abdullah

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan supaya tiada kegiatan tidak bermoral atau songsang berlaku di negeri itu.

Mengulas berkenaan isu yang berlaku dan hangat diperkatakan kini, Baginda mengakui terkejut dengan perkara berkenaan dan berharap agar kegiatan seumpamanya dihentikan.

“Saya agak terkejut jugalah dengan berita dengan kegiatan seperti ini.. saya harap ini tidak berlaku di Pahang. 

“Saya ingin beri nasihat, jauhilah perbuatan-perbuatan songsang ini dan saya minta juga Majlis Perbandaran semua inilah dan daerah semua memantau kegiatan seumpama.

“Kalau ada pun tempat-tempat yang menyediakan fasiliti seperti ini (spa) dapat dipantau dengan lebih rapi supaya tidak ada kegiatan-kegiatan songsang ini berlaku di negeri Pahang” titah Baginda menerusi Facebook Kesultanan Pahang.

Dalam pada itu, Paduka Baginda turut menegaskan tindakan sewajarnya perlu diambil jika terdapat mana-mana pihak terlibat atau menyediakan ruang untuk kegiatan berkenaan.