Penduduk Indonesia rayu PM Anwar hantar bantuan banjir ke Acheh
Bencana banjir yang melanda Aceh sejak hujan lebat pada 18 November lalu kini menjadikan wilayah itu seperti dilanda tsunami.
Di media sosial, seorang warga Indonesia meluahkan harapan, merayu agar Malaysia khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil membantu.
Dalam hantaran yang dimuat naik di laman Instagram, penduduk Gayo, Aceh memohon bantuan daripada Anwar kerana mereka dikatakan tidak menerima sebarang bantuan daripada pemerintah selepas banjir besar melanda wilayah itu.
Pengumuman dibuat atas nama Relawan Pemuda Gayo itu memberitahu bahawa mereka tidak menerima bantuan selama lima hari.
“Kami, penduduk Gayo memohon bantuan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Penduduk kelaparan, sudah lima hari tidak ada bantuan,” kata hantaran tersebut yang difahamkan dimuat naik Sabtu minggu lalu.
“@anwaribrahim_my Tolong kami warga Aceh Tengah, Bener Meriah, Gayo Lues. Kami terputus hubungan, belum ada bantuan di kampung-kampung terpencil,” tambah hantaran tersebut.
Video itu menjadi tular, dengan pengguna media sosial menyatakan bahawa pemerintah Indonesia tidak menangani bencana itu dengan bersungguh-sungguh.
Sehari selepas hantaran itu dikongsikan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (BNPB) dilaporkan berusaha untuk sampai ke lokasi yang terjejas akibat banjir di Aceh melalui jalan laut bagi menghantar bantuan logistik dan peralatan kepada penduduk.
BACA JUGA PKR, kekalahan di Sabah, kekalahan di dalam pertempuran
.