RM25 juta Tabung Bencana Pertanian, agihan bermula selepas bancian selesai

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan bahawa kerajaan akan menyalurkan bantuan kepada petani yang terjejas akibat banjir sebaik sahaja bancian kemusnahan pertanian disahkan.

Menurutnya, penyaluran menerusi Tabung Bencana Pertanian 2025 berjumlah RM25 juta itu tidak dilaksanakan secara ‘one-off’, sebaliknya bergantung kepada keadaan semasa dan musim bencana yang berlaku.

“Tabung bencana ini bergantung kepada keadaan semasa dan dari musim ke musim. Kita tidak ambil pendekatan ‘one-off’ untuk satu tahun sahaja.

“Seperti sekarang, banjir baru surut di Kedah dan Perlis.

“Insya-Allah, dalam beberapa hari lagi kita akan dapat angka sebenar sebelum bantuan disalurkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pra Pelancaran MAHA 2026 di MAEPS Serdang hari ini.

Mohamad berkata, angka kerosakan tanaman sebenar masih sedang dikumpul dan pengesahan rasmi akan dibuat sebelum bantuan diagihkan kepada petani yang layak.

“Buat masa ini, pengesahan jumlah negeri dan kerosakan yang terjejas masih belum ada.

“Kementerian akan turun ke lapangan selepas banjir surut. Bagi banjir terbaharu, data masih belum diperoleh,” kata beliau lagi.

Untuk rekod, banjir besar di Kedah pulih sepenuhnya selepas dua pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di daerah Kubang Pasu ditutup sepenuhnya pukul 2 petang, semalam.

Di Perlis, banjir masih belum reda dengan sebanyak 20 PPS masih beroperasi dengan jumlah mangsa meningkat kepada 198 mangsa daripada 95 keluarga.

BACA JUGA Anwar teliti senarai Menteri, keputusan bakal dimuktamadkan