Selepas kalah teruk PRN, Bersatu Sabah mahu Presiden berundur

Kekalahan teruk Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 baru-baru ini adalah disebabkan kelemahan Presiden parti itu, Tan Sri Mahiaddin Yassin, kata Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Yunus Nurdin.

Menurutnya, jentera Bersatu Sabah berdepan pelbagai pergolakan dalaman ketika melakukan persiapan rapi untuk menghadapi PRN itu, termasuk pemimpin bahagian dan ahli diambil tindakan malah dipecat kerana mengkritik kepimpinan Mahiaddin.

Yunus turut mendakwa tiada peruntukan kewangan diberikan oleh parti pusat untuk jentera mengatur gerak bagi memastikan kemenangan 33 calon parti itu pada PRN Sabah.

“Ketiadaan sumber kewangan menyukarkan kami malah ada calon terpaksa menggadaikan kereta, rumah dan harta mereka untuk kita berjuang pada PRN ini.

“Kita semua menanggung hutang sekarang ini untuk parti… Bersatu Sabah mengalami kegagalan yang saya kira amat memalukan,” katanya pada sidang media di Pejabat Badan Pimpinan Bersatu Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Bersatu pusat itu mahu presiden parti bertanggungjawab atas kelemahan sebagai pemimpin dan mendesak Presiden untuk berundur, meletakkan jawatan sebagai Presiden Bersatu dan juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Pada PRN Sabah ke-17 lalu, Bersatu yang bertanding atas tiket PN tewas di kesemua 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

Sementara itu, dua lagi komponen PN iaitu Gerakan kecundang di semua tiga kerusi manakala Pas menang satu daripada lima kerusi DUN yang ditandingi.

BACA JUGA RM25 juta Tabung Bencana Pertanian, agihan bermula selepas bancian selesai