Pembangkang ucap terima kasih, usul gantung Takiyuddin ditangguh
Usul untuk menggantung Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) dari sidang Dewan Rakyat selama enam bulan akan ditangguh untuk penelitian lanjut.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, mengumumkan perkara itu ketika menggulung usul itu, meredakan kehangatan di dalam Dewan Rakyat.
Sebelum keputusan dibuat, Dewan Rakyat kecoh apabila Ahli Parlimen pembangkang berterusan mencelah dan membantah usul terhadap Takiyuddin.
Ia memaksa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkali-kali memberi amaran.
Selepas situasi mereda, Shamsul Anur kemudian mengumumkan usul itu ditangguh, mengambil kira hujah daripada semua Ahli Parlimen dan memaklumkan ia akan dibawa ke persidangan Dewan akan datang.
Beberapa wakil pembangkang kemudian mengucapkan terima kasih kepada kerajaan, menteri dan timbalan menteri atas pertimbangan itu.
Usul untuk menggantung Takiyuddin adalah susulan kenyataan pemimpin pembangkang itu yang mengaitkan kehadiran beberapa pelatih dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Masjid Rusila dengan peristiwa Memali.
Usul itu menyatakan bahawa Takiyuddin cuba menakutkan rakyat, seolah berlaku serangan terhadap tempat suci ibadat oleh anggota APMM di Masjid Rusila, Marang
Ucapan Takiyuddin yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) turut memberi imej negatif terhadap anggota dan imej Maritim Malaysia sebagai agensi dalam perkhidmatan awam.
BACA JUGA Peraturan mengehadkan akses platform dalam talian kepada bawah 18 tahun sedang dibangunkan