Peraturan mengehadkan akses platform dalam talian kepada bawah 18 tahun sedang dibangunkan

Kerajaan sedang membangunkan peraturan bagi memastikan kanak-kanak berusia bawah 16 tahun dihadkan daripada mengakses platform dalam talian dan bahawa kandungan untuk pengguna bawah 18 tahun adalah bersesuaian dengan usia, Dewan Rakyat dimaklumkan.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata peraturan ini sedang digubal melalui 10 instrumen subsidiari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, yang bertujuan menangani isu berkaitan perlindungan kanak-kanak dalam talian, termasuk kandungan yang bersesuaian mengikut usia bagi pengguna kanak-kanak.

“Di bawah instrumen subsidiari ini, penyedia perkhidmatan juga dikehendaki menawarkan tetapan dan kawalan ibu bapa selaras dengan garis panduan komuniti atau terma penggunaan mereka.

“Bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam memenuhi obligasi keselamatan dalam talian, penyedia perkhidmatan juga akan diwajibkan menyediakan pelan keselamatan dalam talian yang memperincikan pematuhan mereka terhadap tanggungjawab di bawah Akta tersebut.

“Semua peraturan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memastikan ekosistem internet yang lebih selamat dan lebih mampan untuk semua pengguna, khususnya kanak-kanak, keluarga dan kumpulan rentan yang terdedah kepada bahaya dalam talian,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

Fahmi menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis), yang ingin tahu sama ada undang-undang sedang digubal untuk menyekat atau melarang remaja bawah 16 tahun daripada menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan lain-lain.

Dilaporkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang membangunkan 10 perundangan subsidiari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian bagi memperkukuh akauntabiliti dalam kalangan penyedia perkhidmatan berlesen dalam menangani bahaya dalam talian.

Antara 1 Jan 2022 dan 15 Okt 2025, MCMC telah mengemukakan 1,521 permohonan kepada penyedia platform untuk mengalih keluar kandungan berbahaya atau sangat berbahaya melibatkan kanak-kanak. Sembilan puluh enam peratus, atau 1,456 kandungan tersebut, telah dikeluarkan oleh platform berkenaan mengikut garis panduan komuniti dan undang-undang tempatan yang berkaitan.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata kementerian melalui MCMC sebagai pengawal selia industri telah mengambil pendekatan menyeluruh dalam mengawal kandungan berbahaya dalam talian dan melindungi kumpulan rentan, khususnya remaja dan kanak-kanak.

Beliau menambah bahawa ini termasuk penggubalan dan pelaksanaan beberapa undang-undang berkaitan, termasuk penguatkuasaan keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pemesejan internet dan media sosial, yang mesti memenuhi kriteria pelesenan untuk memohon lesen penyedia perkhidmatan aplikasi Kelas A di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau turut berkata langkah-langkah ini bertujuan memastikan setiap penyedia perkhidmatan pemesejan internet dan media sosial berlesen bertanggungjawab dari segi pengawalan kandungan dan pengurusan algoritma.

“Bagi menyokong kerangka pelesenan ini, MCMC telah mengeluarkan kod tatalaku (amalan terbaik) untuk penyedia perkhidmatan pemesejan internet dan penyedia perkhidmatan media sosial.

“Kod ini memperincikan tanggungjawab penyedia perkhidmatan dalam melindungi kanak-kanak dan remaja daripada kandungan berbahaya, termasuk keperluan melaksanakan langkah pengesahan umur, menyediakan tetapan kawalan ibu bapa atau penjaga yang berkesan, serta menambah baik fungsi yang membolehkan pengguna kanak-kanak melindungi diri mereka daripada kandungan berbahaya,” katanya.

BACA JUGA: Empat pertuduhan rasuah Shamsul Iskandar melibatkan wang RM176,829