Ulang Tahun ke-54 LKIM – Peranan nelayan dan inovasi perikanan jadi fokus utama

FOTO BERITA:… Majlis Sambutan Ulangtahun Ke 54 Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) disempurnakan oleh YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Turut hadir Muhammad Faiz Fadzil Pengerusi LKIM di Jalan Desaria, Kampung Pulau Meranti, Puchong, Selangor. 3hb Disember 2025 (Rabu)

Sambutan Ulang Tahun ke-54 Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berlangsung meriah hari ini dalam satu majlis perasmian yang disempurnakan oleh YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Majlis yang diadakan di Jalan Desaria, Kampung Pulau Meranti, Puchong, Selangor itu turut dihadiri oleh Muhammad Faiz Fadzil, Pengerusi LKIM, barisan pengurusan tertinggi agensi serta wakil komuniti nelayan dari seluruh negara.

Industri Perikanan Harus Kekal Dikuasai Nelayan Tempatan

Dalam ucapannya, Muhammad Faiz Fadzil menegaskan bahawa cabaran terbesar sektor perikanan ketika ini adalah memastikan industri tidak dikuasai warga asing. Menurut beliau, aliran keluar wang negara melibatkan pekerja dari India, Pakistan dan Indonesia perlu ditangani segera agar kekuatan ekonomi maritim kembali berpaksikan rakyat tempatan.

Selaras dengan itu, Faiz mengumumkan pelaksanaan Program Pembangunan dan Pencarian Tekong Tempatan bagi memastikan lebih ramai anak muda menyertai bidang perikanan dan mampu memegang peranan penting sebagai peneraju sektor tersebut. “Menteri sendiri turut melihat keperluan tekong tempatan demi masa depan perikanan Malaysia. Kekuatan hasil bumi harus dikuasai oleh kuasa tempatan,” katanya.

Faiz turut mengumumkan fokus baharu LKIM terhadap pembangunan perikanan akuakultur. Katanya, Malaysia tidak boleh terus bergantung sepenuhnya kepada hasil marin sedangkan banyak projek strategik telah dijalankan di sepanjang pesisir pantai.

Menurut beliau, sasaran kerajaan ialah 40 peratus hasil perikanan negara menjelang 2030 akan datang daripada sektor akuakultur.

Dalam ucapannya, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu menekankan peranan penting LKIM dalam memperkukuh sektor perikanan negara, khususnya dalam memastikan kebajikan nelayan terjamin dan rantaian bekalan makanan laut negara terus stabil. Beliau turut memuji usaha berterusan LKIM dalam memperkasa komuniti nelayan melalui pelbagai inisiatif pembangunan dan sokongan teknikal. Beliau menegaskan bahawa keupayaan LKIM untuk memberikan penyampaian perkhidmatan terbaik bergantung kepada ketegasan dan keberkesanan fasa pelaksanaan.

“Sistem penyampaian yang baik bergantung kepada pelaksanaan. Belanjawan 2026 akan memastikan nelayan mendapat dana bagi menggantikan pukat dan kapal. Agrobank juga menawarkan RM1.1 bilion untuk peningkatan teknologi dan naik taraf kapal,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa subsidi minyak diesel serta bantuan lain yang dinikmati nelayan ketika ini tidak dijamin akan kekal pada masa hadapan, justeru reformasi dan penyesuaian dalam industri amat diperlukan.

Dalam majlis sama, Mohamad mengumumkan bahawa Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan (MAHA) 2026 akan kembali membuka tirai dengan konsep dan tarikan lebih segar. Beliau yakin LKIM akan mengetengahkan idea baharu, termasuk kesinambungan konsep pasar terapung yang diperkenalkan pada 2024.

Menutup majlis, Mohamad sekali lagi menekankan peranan penting LKIM dalam memperkukuh sektor perikanan negara, memastikan kebajikan nelayan terjamin dan rantaian bekalan makanan laut terus stabil. Beliau turut memuji usaha berterusan agensi dalam memperkasa komuniti nelayan melalui pelbagai inisiatif pembangunan dan sokongan teknikal.

Majlis sambutan ulang tahun ini turut diserikan dengan penglibatan komuniti nelayan, pameran agensi dan sesi ramah mesra, menandakan komitmen LKIM untuk terus mendekati masyarakat serta meneruskan agenda pembangunan perikanan negara.