Naim puji langkah benarkan kru kabin bertudung
Pengumuman yang membenarkan kru kabin wanita AirAsia untuk memilih memakai hijab ketika bertugas,disifatkan sebagai langkah progresif dan amat dialu-alukan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, beliau menyambut baik atas keputusan matang pihak AirAsia, sekali gus menunjukkan komitmen syarikat terhadap prinsip kepelbagaian, keterangkuman, dan penghormatan kepada tuntutan agama.
“Tidak lupa juga untuk saya menyampaikan ucapan tahniah dan penghargaan khusus kepada para asatizah dan pihak yang terlibat yang telah gigih mengadakan perbincangan dan libat urus secara berterusan dengan pihak AirAsia.
“Usaha murni ini merupakan kunci kejayaan dalam merealisasikan pilihan seragam berhijab ini, yang dijangka akan mula dilaksanakan pada suku pertama tahun 2026,” katanya dalam satu kenyataan media di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Na’im berharap keputusan AirAsia ini akan menjadi contoh terbaik kepada syarikat-syarikat korporat lain di Malaysia untuk sentiasa prihatin dan menyokong kebebasan setiap pekerja dalam menjalankan tuntutan agama mereka, selaras dengan semangat perlembagaan negara dan nilai-nilai Malaysia Madani.