Bekas Imam Besar Masjid Negara meninggal dunia
Bekas Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad meninggal dunia pada usia 81 tahun, awal pagi tadi.
Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menerusi hantaran di Facebook memaklumkan berita pemergian anak jati Terengganu itu sekitar jam 3 pagi tadi.
“Dimaklumkan bahawa Tuan Guru kita semua Tan Sri (Dr) Syaikh Ismail Muhammad, mantan Imam Besar Masjid Negara, Ahli Jawatankuasa Literasi Al Quran Selangor, Pensyarah Talaqi Lanjutan Tinggi Akademi Literasi Al Quran Selangor baru sahaja kembali menghadap Allah SWT.
“Jenazah akan dibawa ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dan urusan mandi serta kafan akan dilakukan selepas solat Subuh.
“Solat jenazah akan dilakukan sekitar jam 9 pagi,” menurut perkongsian itu.
Jenazah difahamkan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya.
Allahyarham merupakan penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah bagi peringkat Kebangsaan 2021/1443 Hijrah.
Beliau adalah Imam Besar Masjid Negara yang paling lama berkhidmat iaitu selama 12 tahun sejak 2007 hingga 2019.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Wira Dr Khairuddin Takiri dalam catatannya menyatakan Allahyarham menjadi guru kepada puluhan ribu para asatizah dalam bidang al-Quran.
“Moga al-Quran yang dibawa di dalam dada memberi Syafat buat beliau di Hari Akhirat.
“Moga Allah memberikan keampunan dosa dan kerahmatan yang luas serta ditempatkan bersama para Nabi, Syuhada dan Solihin,” kata Khairuddin yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu lagi.
BACA JUGA Penyelesaian Palestin mesti menyeluruh, hentikan penjajahan Israel