LKIM lancar Program Madani Anak Nelayan Kembali ke Sekolah, 100 pelajar terima manfaat di Jasin

Majlis Perasmian Program Anak Nelayan Kembali Ke Sekolah disampaikan oleh Pengerusi LKIM Ybhg. Tuan Hj Muhammad Faiz Fadzil di Persatuan Nelayan Kawasan Jasin, Jalan Kampung Serkam Pantai, Batu 10, Serkam, Merlimau, Melaka. 6hb Disember 2025 Sabtu. (Gambar: LKIM)

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) hari ini melancarkan Program Madani Anak Nelayan Kembali Ke Sekolah bagi kawasan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Jasin dalam satu majlis perasmian yang disempurnakan oleh Pengerusi LKIM, YBhg. Tuan Haji Muhammad Faiz Fadzil di Persatuan Nelayan Kawasan Jasin.

Program yang melibatkan seramai 100 anak-anak nelayan sekitar Parlimen Jasin ini bertujuan meringankan beban ibu bapa menjelang sesi persekolahan baharu. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen LKIM dalam memartabatkan taraf hidup keluarga nelayan serta membuka peluang masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak mereka.

Sebagai sebuah badan berkanun yang diperbadankan di bawah Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia 1971 (Akta 49), LKIM memainkan peranan penting dalam pembangunan sektor perikanan negara. LKIM kini mengurus 48 pelabuhan atau kompleks pendaratan ikan di seluruh Malaysia serta mendaftar dan menyelia 105 persatuan nelayan termasuk 91 PNK, 13 PNN dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT). Objektif penubuhannya adalah untuk memperbaiki kedudukan sosioekonomi nelayan melalui peningkatan pendapatan dan memperkembangkan perusahaan perikanan negara.

Program Madani Anak Nelayan Kembali ke Sekolah ini dianjurkan bersama Petronas Dagangan Berhad dan NEKMAT melalui Yayasan Nelayan Malaysia (Yanem) yang telah bermurah hati menyumbang peralatan persekolahan kepada para pelajar. Kerjasama strategik ini dilihat dapat mengurangkan kos yang ditanggung oleh keluarga nelayan sekali gus memberikan kegembiraan kepada anak-anak nelayan dalam menghadapi tahun persekolahan baharu.

Dalam majlis tersebut, YBhg. Tuan Haji Muhammad Faiz Fadzil sendiri menyampaikan bantuan berupa baucar pakaian dan kasut sekolah, berserta peralatan lain seperti beg, topi dan botol air dengan nilai keseluruhan RM136 seorang. Sumbangan ini membuktikan komitmen LKIM dalam memastikan kebajikan komuniti nelayan sentiasa diberi perhatian sewajarnya.

“Kesemua bantuan ini menunjukkan bahawa LKIM sentiasa menjaga nasib dan masa depan nelayan serta anak-anak mereka. Inisiatif ini amat penting dalam meningkatkan martabat hidup keluarga nelayan sekali gus memberi peluang pendidikan yang lebih baik kepada generasi muda,” ujar beliau dalam ucapannya.