Pas pakai KTN dalam isu Felda, lain pula dalam tuntutan royalti

Oleh MUAMMAR QADDAFI NASIR

Usaha Kerajaan Negeri Terengganu dalam memperjuangkan hak negeri berhubung pendudukan anak syarikat Felda, FGV di tanah milik kerajaan negeri adalah satu usaha yang baik. Itu menjadi hak beliau sebagai pemimpin negeri, mencari jalan menuntut hak negeri.

Usaha ini pasti ada asasnya, tanpa asas yang baik, mana mungkin tanah itu boleh disita, tanpa asas yang baik, mana mungkin pintu perundingan boleh dibuka.

Kita mendoakan kebaikan untuk usaha ini, baik kepada kerajaan negeri, mahupun kepada FELDA itu sendiri dimana kedua-dua entiti ini, pemegang taruh terbesarnya adalah orang Melayu.

Meneliti perbahasan yang dibawa, saya kira menarik, dan yang paling menarik adalah penggunaan Kanun Tanah Negara (KTN).

Kanun Tanah Negara 1965 ialah undang-undang utama yang mengawal pemberimilikan tanah, pindah milik, pecah sempadan / pecah bahagian, Lesen Pendudukan Sementara (TOL), dan penguatkuasaan ke atas pencerobohan atau pelanggaran syarat.

KTN menetapkan bahawa semua tanah adalah hak negeri, dan apa-apa urusan berkaitan tanah mesti melalui Pihak Berkuasa Negeri (PBN).

KTN juga memperincikan kesalahan seperti menduduki tanah tanpa kebenaran, mengubah syarat guna tanah, atau membina tanpa permit.

Kerana apa penggunaan dalil/hujah KTN ini menarik? Kerana beliau juga beberapa kali membangkitkan soal royalti dalam tulisan beliau.

Adakah Kerajaan Negeri Terengganu sedar, bahawa dengan berpandukan Kanun Tanah Negara, Negeri Terengganu tidak layak untuk menerima “Wang Tunai Petroleum” atau pun dijaja sebagai ‘royalti’ itu?

Dalam Perjanjian 1975 diantara Petronas dan Kerajaan Negeri Terengganu menyebut Petronas akan memberi bayaran tunai SEKIRANYA minyak didapati di Tanah Negeri Terengganu.

“Didapati di Negeri…” itu memerlukan kepada penentuan had sempadan negeri, manakala yang diluar sempadan negeri, adalah milik kerajaan persekutuan iaitu sehingga 200 batu nautika.

Bagaimana tanah negeri ini didefinisikan?

Ya, juga melalui KANUN TANAH NEGARA.

Kanun Tanah Negara mendefinisikan “Tanah Negeri” sebagai ;

“State land” means all land in the state (including so much of the bed of any river and of the foreshore and the bed of the sea, as is within the rerritories of the state or the limits of territorial water) other than –
a) Alienated land;
b) Reserved land;
c) Mining land;
d) Any land which, under the provisions of any law relation to forensts (whether passeed before or after the commencement of this Acr) is for the time being reserved forest:

Ini bermakna, jika minyak ditemui dalam kerangka definisi “tanah negeri” terbabit, maka mengikut perjanjian, Negeri Terengganu layak menerima wang tunai petroleum.

Adakah petroleum digali dalam tanah negeri mengikut definisi ini? Tidak.

Amatlah janggal

Dalam KTN juga, digunakan juga Terma `limits of territorial waters’ dalam kontek mendefinisikan tanah negeri.

Definisi ‘limits of territorial waters’ boleh dirujuk melalui Ordinan Darurat 1969 (sebelum mansuh) dan akta 750 (selepas mansuh) iaitu sempadan hak negeri adalah kawasan perairan yang tidak melebihi 3 batu nautica.

Jadi, tuntutan terhadap “hak royalti minyak” Terengganu, amatlah janggal dengan Perjanjian 1975 berpandukan Kanun Tanah Negara.

Kerana apa kerajaan pusat tetap beri wang dari hasil minyak jika bukan Royalti?

Sebab BOLEH.

Kerana itu, walaupun tidak mencukupi syarat yang melayakkan Kerajaan Negeri Terengganu menerima wang tunai petroleum, namun Kerajaan Pusat tetap beri bantuan kewangan ini dengan dinamakan “Wang Ehsan”.

Eh, bohong! Wang Ehsan hanya apabila Pas mengambil alih Terengganu pada 1999, sebelum tu dinamakan royalti! – kata walaun.

Royalti hanya terma yang dipopularkan, namun asasnya tiada. Baik dalam perjanjian 1975, mahu pun akta 1974.

Perkataan “Royalti” tidak pernah disebutkan. Ia hanya terma yang lebih mudah dan biasa digunakan. Namun, tidak membawa erti ‘royalti’ yang sebenar.

Dalam Sidang DUN Terengganu, tahun 1982, wujud perbahasan diantara Adun Batu Buruk, Wan Abd Muttalib dan Menteri Besar ketika itu Datuk Wan Mokhtar Ahmad, dimana Menteri Besar ketika itu meminta Wan Muttalib berhenti mengelirukan rakyat tentang royalti minyak (Rujuk Hansard pada lampiran)

Hakikatnya, pemberian wang kepada Terengganu adalah ehsan dari Perdana Menteri dan samada ianya diterma kan sebagai royalti, dana khas, ataupun wang ehsan, kedua-duanya adalah ehsan Perdana Menteri kerana minyak yang dijumpai diluar 3 batu nautika dari pesisir pantai negeri.

Meratib pembohongan

Dan pada era kerajaan Madani hari ini, pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Negeri Terengganu telah menerima Dana Khas / Dana Petroleum / Wang Ehsan / Royalti sebanyak RM1.553 bilion pada tahun 2023, jumlah tertinggi dalam tempoh 10 tahun terakhir dan ini merupakan daripada Penyata Kewangan Rasmi Kerajaan Negeri Terengganu tahun 2024 sendiri.

Dalam keadaan diberi atas dasar ehsan, namun kerajaan negeri dan pemimpin kerajaan negeri masih berulang kali meratib pembohongan kepada rakyat seolah hak royalti dinafikan. Tak diberi,disekat dll lagi.

Hak apa? Hak nak control 100% duit? Hak dari mana tu? Kerajaan Pusat boleh untuk tidak menyalurkan 1 sen pun secara terus kepada kerajaan negeri namun tetap diberi sebahagiannya untuk diuruskan kerajaan negeri dan sebahagian lain dioffsetkan untuk kegunaan kerajaan negeri juga!

Dan demikianlah Pas, diambil jika menguntungkannya, ditolak jika merugikannya tanpa mengira akan kebenaran.

Jika dalam isu tanah Felda ini, Kanun Tanah Negara dijadikan hujah sandaran, maka mengapa untuk ‘royalti’ dituntut membelakangi Kanun Tanah Negara?

Berlaku jujurlah, dan berlaku adillah!

BACA JUGA Hishammuddin, Hadi, Shafie MP paling banyak ponteng Parlimen