Reformasi perolehan bawa standard baharu integriti dalam perbelanjaan awam

Kerajaan MADANI dilihat membawa standard baharu integriti dalam perbelanjaan awam apabila memperkenalkan pembaharuan besar dalam sistem perolehan negara.

Kementerian Kewangan (MOF) memperkenalkan kaedah tender dua peringkat yang jauh lebih ketat, telus dan profesional.

Menurut penganalisis ekonomi, Nazri Hamdan, perubahan tersebut meletakkan Malaysia sebagai melangkah lebih jauh ke hadapan berbanding amalan pentadbiran lampau.

Di bawah sistem baharu ini, semua projek kritikal seperti tebatan banjir, naik taraf sekolah dan pembangunan infrastruktur luar bandar akan diwajibkan melalui proses pra-kelayakan sebelum tender sebenar dibuka.

Melalui langkah tersebut, kementerian-kementerian akan menilai syarikat berdasarkan keupayaan teknikal, kewangan serta rekod prestasi sebelum menyenarai pendek hanya lima hingga 10 syarikat yang benar-benar layak.

Nazri menyifatkan mekanisme baharu berkenaan sebagai penapis kualiti yang memastikan hanya kontraktor kompeten dibenarkan masuk gelanggang tender.

“Ini mengelakkan pertandingan tidak sihat, menjimatkan masa dan memastikan projek awam dapat dimulakan lebih cepat,” katanya.

Apa yang lebih mengejutkan, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini mendedahkan bahawa kaedah tender selektif sebenarnya tidak menjalankan proses saringan pun—sekadar nama sahaja.

Menurut Nazri, hal tersebut menyebabkan syarikat yang berpotensi tidak dinilai secara menyeluruh, sekali gus membuka ruang kepada kelemahan tadbir urus.

Sistem tender baharu MADANI ini pula dilihat sebagai pembetulan struktur besar-besaran dengan syarikat ‘atas angin’ disingkirkan lebih awal sebaliknya hanya kontraktor yang benar-benar mampu akan mara ke fasa penilaian akhir.

Selain itu, Nazri berkata, amalan rundingan terus kini semakin jarang digunakan dan hanya dibenarkan dalam situasi keselamatan atau jika terdapat satu-satunya pembekal sahaja.

“Ini bukti kerajaan serius menutup ruang manipulasi dan memastikan proses perolehan berada dalam kawalan yang sah,” katanya.

Reformasi perolehan ini adalah sebahagian daripada agenda Kerajaan MADANI untuk mengekang risiko bid-rigging, meningkatkan ketelusan serta mempercepat pelaksanaan projek rakyat.

Dengan proses tender yang lebih tersusun dan penilaian yang lebih fokus, projek penting negara tidak lagi tersangkut bertahun-tahun tanpa kejelasan.

“Kerajaan mahu memastikan setiap kontrak diberi kepada syarikat yang benar-benar layak bukan kerana kabel, bukan kerana pintu belakang,” tegas Nazri lagi.

BACA JUGA 100 anak-anak nelayan terima baucar RM13,600 sumbangan LKIM