Anak syarikat Ramssol jadi ejen kutipan JPJ

Kementerian Pengangkutan secara rasmi melantik Rider Gate Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat milik penuh Ramssol Group Bhd sebagai ejen kutipan bertauliah bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ramssol menerusi satu kenyataan hari ini berkata, melalui portal aplikasi Rider Gate, rakyat Malaysia kini boleh mengakses platform perkhidmatan yang digital sepenuhnya, mudah dan selamat untuk transaksi penting JPJ.

Ia termasuk pembaharuan lesen kenderaan bermotor, pembayaran saman trafik dan pindah hak milik kenderaan dengan caj nominal bagi setiap transaksi.

Pengarah Urusan Kumpulan Ramssol, Datuk Wira Cllement Tan berkata, sistem itu juga menyediakan pelaporan secara masa nyata kepada JPJ dan Kementerian Pengangkutan untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti sepenuhnya.

“Kerjasama ini meletakkan Ramssol di barisan hadapan transformasi digital negara dalam sektor pengangkutan dan kami bersedia sepenuhnya untuk menyediakan perkhidmatan yang boleh dipercayai, inovatif dan berpusatkan kepenggunaan kepada orang ramai,” katanya.

Beliau juga memaklumkan pihaknya merancang untuk terus memperkukuh rangkaian teknologi, melabur dalam penambahbaikan platform termasuk aplikasi kecerdasan buatan (AI).

Kumpulan itu juga merancang untuk meneroka kerjasama strategik yang dapat meningkatkan lagi pengalaman pengguna dan menggalakkan penerimaan platform itu.

Tambahnya, ia kekal fokus untuk mengembangkan portfolio penyelesaian digitalnya dalam bidang-bidang yang mengutamakan kebolehpercayaan dan tadbir urus data.

BACA JUGA PM Anwar percepat transformasi digital, sasar penyampaian lebih cekap