LKIM: RM1.8 juta bantuan bencana alam dan kebajikan untuk nelayan
Sebanyak RM1.8 juta telah diperuntukkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di bawah Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan yang dimanfaatkan oleh 628 nelayan.
Menurut pengerusi LKIM Faiz Fadzil jumlah tersebut adalah untuk kerja pembaikan rumah dan bot nelayan yang rosak akibat bencana alam.
Tahun ini kita menerima peruntukan berjumlah RM2 juta dengan sebahagian besarnya untuk nelayan yang terkesan banjir di negeri Pantai Timur. Skim ini menyediakan bantuan maksimum RM10,000 bergantung tahap kerosakan.
“Jika kerosakan melebihi had itu, LKIM akan memohon bantuan tambahan daripada kerajaan melalui skim lain,” katanya kepada pemberita pada Program MADANI Anak Nelayan Kembali Ke Sekolah di Bachok, Kelantan.
Beliau turut menyatakan bahawa bekalan ikan sepanjang Monsun Timur Laut adalah mencukupi untuk keperluan pengguna memandangkan ada 300 metrik tan dalam stok simpanan LKIM dan 1,600 metrik tan stok swasta.
“Kita menggalakkan rakyat mempelbagaikan sumber protein pada musim tengkujuh bagi mengurangkan kebergantungan kepada hasil laut. Kita juga ingin mendidik pengguna membeli ikan mengikut musim pembiakan spesies bagi mengelak harga tinggi,” katanya.