MP PN didakwa kes rasuah hari ini
Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) akan didakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung kes projek fidlot – usahasama ternakan lembu milik Kerajaan Negeri Kedah, di Mahkamah Shah Alam hari ini.
Azman berdepan tuduhan bersubahat menerima rasuah di Bawah Seksyen 28 (1) (c) Akta SPRM 2009.
Seorang lagi ahli perniagaan pula berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 dengan dua pertuduhan, iaitu meminta dan menerima rasuah.
“Seorang Ahli Parlimen dan seorang ahli perniagaan yang disyaki berhubung dakwaan rasuah yang berkaitan dengan usaha sama penternakan lembu milik kerajaan negeri Kedah akan didakwa Isnin (hari ini).
“SPRM mendapat izin mendakwa kedua-dua suspek berkenaan dan pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Shah Alam,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam kenyataan semalam.
SPRM Kedah menahan Azman bagi tujuan pertuduhan selepas agensi itu mendapat izin mendakwa satu kes membabitkan usaha sama ternakan lembu milik kerajaan negeri.
Menurut sumber, siasatan yang dijalankan sejak Februari tahun ini membabitkan dakwaan penerimaan kira-kira RM400,000 sebagai balasan membantu mendapatkan hak penggunaan tanah untuk projek fidlot.
“Kertas siasatan dibuka susulan aduan diterima pada 10 Februari lalu dan siasatan dijalankan, 15 saksi dirakam percakapan,” katanya.