PM Anwar percepat transformasi digital, sasar penyampaian lebih cekap
Perdana Menteri hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) Bil. 6/2025 dengan deretan keputusan baharu yang bakal mengubah wajah penyampaian perkhidmatan awam negara.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, agenda pendigitalan sektor awam diperkukuh melalui inovasi Kerajaan MADANI demi perkhidmatan yang lebih pantas, mudah, telus dan berfokus kepada rakyat.
Menurutnya, mesyuarat bersetuju menubuhkan Unit Transformasi Digital (DTU) di setiap kementerian, mempercepat pendaftaran MyDigital ID, serta memacu pembangunan MyGov Malaysia sebagai gerbang digital tunggal berteraskan kecerdasan buatan (AI).

“Keutamaan turut diberikan kepada peningkatan liputan dan kualiti internet di IPTA serta premis latihan kerajaan bagi menyokong pengajaran dan pembelajaran digital secara berterusan,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.
Beliau yang juga Menteri Kewangan memaklumkan kerajaan telah merangka Pelan Hala Tuju Ekosistem Kreatif Digital 2026–2030 (DICE Roadmap) bagi merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai Hab Kreatif Digital Global menjelang 2030.
Pelan itu, jelasnya, merupakan panduan untuk memposisikan negara sebagai peneraju penciptaan harta intelek berkualiti tinggi serta pembangunan bakat kreatif bertaraf dunia.
“Segala inisiatif ini menjadi asas kepada Fasa 3 Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (2026–2030) yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan perniagaan, peningkatan taraf hidup rakyat dan reformasi ekonomi digital negara.
“Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan terus berusaha dengan penuh tekad dan kecekapan, berpaksikan rakyat, demi memastikan Malaysia kekal maju, makmur dan bersedia menghadapi cabaran era digital yang semakin pesat,” kata Perdana Menteri lagi.
BACA JUGA LKIM: RM1.8 juta bantuan bencana alam dan kebajikan untuk nelayan