Kementerian Luar sahkan tiada rakyat Malaysia terjejas gempa bumi Jepun

Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terjejas dalam gempa dengan magnitud awal 7.6 yang melanda timur laut Jepun lewat malam tadi.

Dalam satu kenyataan akhbar hari ini, Kementerian Luar berkata Kedutaan Malaysia di Tokyo sedang memantau rapi situasi gempa pada kedalaman 50 kilometer itu.

“Setakat ini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas akibat gempa bumi tersebut. 

“Kedutaan sedang giat berkoordinasi dengan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Terdahulu, gempa yang berpusat pada kedalaman 54 kilometer itu dikesan berlaku kira-kira 80 kilometer dari pesisir daerah Aomori.

Amaran tsunami turut dikeluarkan di pantai timur wilayah Aomori serta kawasan lain di sepanjang pantai Pasifik, antaranya wilayah Hokkaido dan Iwate dengan jangkaan ombak setinggi tiga meter.

Amaran itu bagaimanapun ditarik balik.

Wisma Putra dalam pada itu menasihatkan rakyat Malaysia yang berada atau menetap di kawasan terjejas supaya terus berwaspada, mengelakkan kawasan pesisir pantai serta mematuhi arahan rasmi yang dikeluarkan pihak berkuasa Jepun.

Rakyat Malaysia di Jepun juga digalakkan untuk mendaftarkan kehadiran mereka dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo bagi memastikan penyampaian maklumat dan bantuan dapat diberikan dengan cepat sekiranya diperlukan.

Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo boleh dihubungi menerusi talian +81-3-3476-3840 dan +8180-4322-3366 (kecemasan) atau emel:consular.tyo@kln.gov.my.

BACA JUGA Sewa RM200 sebulan, DBKL lancar projek mampu sewa untuk belia bujang