Kisah Logesh Kumaar dedah realiti ‘brutal’ dunia pencipta kandungan

Keputusan seorang YouTuber tempatan yang terpaksa menghentikan kerjaya sebagai pencipta kandungan sepenuh masa dilihat mendedahkan sisi gelap industri yang sering dilihat glamor.

Penganalisis Nazri Hamdan berpendapat kisah pemilik saluran, Logesh Kumaar menunjukkan bahawa dunia penciptaan kandungan sebenarnya penuh tekanan, ketidakpastian dan pendapatan yang sangat tidak stabil.

“Bila seorang YouTuber Malaysia sendiri terpaksa berhenti dan kembali kepada kerja biasa sambil mengaku ‘I failed’ itu bukan tanda dia lemah, tapi bukti bahawa industri ini memang brutal.

“Bukan semua video meletup, bukan semua creator dapat momentum konsisten, dan algoritma platform boleh berubah bila-bila masa tanpa amaran,” ulasnya.

Tidak berhasil

Terdahulu, Logesh yang terkenal melalui saluran Kumaar Family, mengakui usaha beliau untuk menjadikan YouTube sebagai kerjaya sepenuh masa tidak berhasil, menyebabkan beliau kembali kepada pekerjaan biasa.

Menerusi rakaman video, Logesh mengakui peralihan kepada penciptaan kandungan secara sepenuh masa tidak berjalan seperti yang dirancang.

Beliau dan isterinya, Rachel Kumaar, menjelaskan bahawa keperluan kewangan meningkat dengan ketara apabila mereka bergantung sepenuhnya kepada penciptaan kandungan sebagai sumber pendapatan.

Mengulas lanjut, Nazri yang juga pencipta kandungan berkata, pengalaman Logesh itu mengingatkan bahawa untuk bertahan dalam dunia influencer, tidak boleh hanya bergantung pada satu platform atau satu sumber duit sahaja.

“Jika pendapatan hanya datang dari YouTube, atau hanya daripada iklan, atau hanya daripada tajaan, apabila salah satu daripadanya jatuh, kita sendiri pun boleh jatuh sekali.

“Kita perlu bijak mempelbagaikan sumber pendapatan melalui affiliate, tajaan, produk digital, kerjasama jenama, konsultasi, serta membina audiens merentas platform. Lagi banyak talian hayat, lagi kukuh perjalanan,” ujarnya.

Paling penting, tegas Nazri, pencipta kandungan mesti memiliki minda perniagaan, bukan minda mengejar glamor.

“Kreativiti sahaja tidak memadai; kita perlu pantas menyesuaikan diri, berani bereksperimen, bijak membaca data dan bersedia berubah hala apabila keadaan menuntutnya.

“Kisah ini menjadi pengajaran bahawa dalam dunia digital, kelangsungan hidup datang daripada gabungan kreativiti, strategi dan keupayaan membina pelbagai sumber pendapatan.

“Kalau tak, platform jatuh, kita pun ikut tenggelam,” kata Nazri lagi.

BACA JUGA PERKESO beri perlindungan 24 jam, satu lonjakan besar di bawah kerajaan MADANI