Menteri Agama ambil tindakan undang-undang dakwaan fitnah

Seorang individu yang menerbitkan kenyataan fitnah mengaitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar bakal dikenakan tindakan mahkamah.

Mohd Na’im berkata, firma guaman, Akberdin and Co sudah mengeluarkan surat tuntutan terhadap individu itu berhubung penerbitan kandungan yang mengaitkannya dengan tuduhan tidak benar serta berniat jahat berkenaan.

“Kandungan itu sebagaimana dinyatakan oleh pihak peguam dalam notis itu, bukan sahaja mengandungi dakwaan tidak berasas, bahkan membawa maksud yang boleh merosakkan reputasi, maruah serta kedudukan saya sebagai anggota pentadbiran Kerajaan Malaysia.

“Tuduhan sedemikian juga mencemarkan integriti institusi hal ehwal agama yang saya pimpin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tindakan undang undang itu bagi mempertahan kebenaran, melindungi reputasi serta menghentikan penyebaran fitnah yang boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan keyakinan terhadap institusi agama.

“Saya ingin menegaskan semua dakwaan yang ditularkan adalah palsu dan tidak berlandaskan sebarang fakta.

“Penyebaran fitnah adalah satu kesalahan dari sudut undang undang dan bertentangan dengan nilai Islam yang menuntut keadilan serta larangan keras terhadap tohmahan,” ujarnya.

Beliau berkata, tindakan itu juga dibuat menurut haknya sebagai warganegara dan bukan bertujuan menghukum sesiapa secara peribadi.

“Tetapi bagi memastikan ruang digital tidak disalahgunakan untuk menyebarkan kebencian, manipulasi persepsi dan meruntuhkan kepercayaan masyarakat melalui maklumat palsu.

“Saya menghormati proses undang-undang. Tindakan seterusnya akan diserahkan sepenuhnya kepada pihak guaman mengikut lunas peruntukan undang undang sedia ada,” katanya.

Rakaman video itu memaparkan individu berkenaan mendakwa menteri menjadi adalah dalang berlaku maksiat di negara ini.

Malah, video tersebut turut memaparkan petikan berita berkaitan Mohd Na’im berhubung operasi spa songsang baru-baru ini.

BACA JUGA Selepas meninggalnya Bung Moktar, ini Zizie lakukan di IG