Pelancong asing kagum Malaysia dinobat destinasi pelancongan perubatan nombor 1 dunia

Pada pertengahan tahun ini, Malaysia berjaya menduduki kedudukan pertama sebagai destinasi pelancongan perubatan utama di dunia.

Senarai itu diterbitkan oleh syarikat perundingan, Nomad Capitalist yang berpangkalan di Dubai. Menurut laman berkenaan, Malaysia menerima lebih 500,000 pelancong perubatan setiap tahun, terutamanya dari Asia.

Pusat perubatan terkenal di Kuala Lumpur, Prince Court Medical Centre telah dinamakan hospital nombor satu untuk pesakit tanpa sempadan oleh Medical Travel Quality Alliance.

Perkembangan ini masih menjadi tumpuan ramai terutama pelancong yang melawat ke negara ini.

Di TikTok, seorang pelancong asing Sara Ryan memuji pengiktirafan yang diterima Malaysia, menyatakan rasa kagum terhadap kemampuan negara ini.

Dia juga menunjukkan rakaman melawat Malaysia dan meninjau pameran kesihatan anjuran Malaysia Healthcare Travel Council.

Antara faktor Malaysia menjadi pilihan pertama dalam sektor pelancongan perubatan adalah kerana kos rawatan rendah di samping penyediaan infrastruktur perubatan yang maju.

Menurut laman Nomad Capitalist, Malaysia mempunyai fasiliti perubatan yang setanding Singapura dengan harga yang jauh lebih rendah. 

Selain itu, ia didorong penggunaan Bahasa Inggeris yang lebih meluas di Malaysia berbanding Thailand, malah infrastruktur yang disediakan lebih baik daripada negara seperti India.

BACA JUGA Tiada ancaman tsunami di Malaysia susulan gempa kuat di Jepun – MetMalaysia