Kecoh pasar raya jual kiub pati perisa babi, gambar tular sebenarnya dari Filipina
Berlegar di media sosial mengenai kiub pati jenama Knorr yang didakwa mengeluarkan perisa babi sehingga mencetuskan kebimbangan awam.
Ia menimbulkan keresahan kemungkinan wujudnya isu pencemaran silang, kerana jika produk berasaskan babi dan produk lain dihasilkan dalam kilang sama, ia boleh bercampur tanpa sedar.
Hasil tinjauan Harapan Daily mendapati, kiup pati perisa babi yang menjadi tular ketika ini adalah dari pasar raya Filipina dan ia bukan dikeluarkan oleh pengilang Malaysia.
Knorr adalah salah satu jenama makanan luar negara yang dimiliki oleh syarikat multinasional British, Unilever.

Produk ini memang terdapat di pasaran antarabangsa namun bukan di pasaran Malaysia.
Kilang-kilang di Malaysia juga tidak menghasilkan kiub pati babi.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2016 pernah memberi penjelasan tentang isu ini dengan menegaskan, tiada pengesahan halal dari mana-mana badan Islam untuk produk ini.
Jabatan itu juga menjelaskan, produk jenama Knorr yang dikilangkan di sini mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang masih sah sehingga kini.
Ia sekaligus menafikan dakwaan pengilang di Malaysia menghasilkan kiub pati jenama babi yang menjadi kebimbangan ramai
Orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan silang terlebih dahulu sebelum mempercayai dan menyebarkan dakwaan tidak benar yang boleh mengundang kegusaran awam.
BACA JUGA Pempengaruh jemputan sekolah di Kedah tergamak ucap ini selepas kutuk PMX