Kontrak Azam Baki tidak akan disambung lagi tahun depan?
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam sidang medianya tadi seperti memberi bayangan kemungkinan kontrak beliau tidak akan disambung lagi tahun hadapan.
Kontrak perkhidmatannya dijangka tamat pada 12 Mei 2026
Azam berkata, selepas tiga kali perkhidmatannya disambung, penyambungan kontrak bukan keutamaan kerana menyedari penentangan terhadapnya.
Tetapi beliau menaruh harapan agar agenda memperkukuh integriti dan tadbir urus negara diteruskan tanpa rasa takut dan pilih kasih.
“Jadi sesiapa yang mengganti saya pada tahun depan, insya Allah mungkin tahun depan saya akan tamat perkhidmatan saya.
“Dah tiga kali sambung. Orang pun dah tak suka dekat saya. Rafizi pun tak suka dengan saya. Dia kata jangan sambung Azam Baki. Tak apa.
“Siapa-siapa pun mengambil tempat ini, itu tak penting. Dia perlu meneruskan agenda dalam isu meningkatkan integriti, mempromosikan tatakelola dan juga menguatkuasakan undang-undang rasuah without fear or favour,” katanya.
Kenyataan Azam ini dibuat selepas Majlis Presiden Pakatan Harapan bermesyuarat semalam.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, mesyarat telah memutuskan agar beberapa perkara berkaitan reformasi institusi diberi keutamaan dan diusahakan dengan lebih tegas dalam masa terdekat.
Satu Konvensyen PH akan diadakan pada suku pertama 2026 bagi menetapkan fokus keutamaan usaha reformasi serta hala tuju negara bagi tempoh dua tahun akan datang.
BACA JUGA Kecoh pasar raya jual kiub pati perisa babi, gambar tular sebenarnya dari Filipina