Mesyuarat PH: Tiada gaduh-gaduh atau jerit-jerit

Oleh SYAHREDZAN JOHAN

Banyak analisis tentang hubungan dalaman Pakatan Harapan (PH) mutakhir ini. Ia termasuklah mengenai tempoh enam bulan yang diberikan oleh DAP untuk melaksanakan reformasi. Digambarkan seolah-olah PH sedang mengalami krisis dalaman.

Makna sebenar kenyataan DAP ini telah dijelaskan oleh Setiausaha Agung parti, Anthony Loke. Tidak timbul tarik sokongan, tidak timbul isu kononnya kerajaan tumbang.

Sekiranya ada sekalipun, selepas enam bulan dan tiada perubahan ketara, parti akan menilai semula keberadaan menteri dan timbalan menteri DAP dalam Kerajaan Persekutuan.

Apa yang penting untuk dianalisa adalah kenyataan yang disiarkan oleh Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil semalam, sejurus selesainya mesyuarat Majlis Presiden PH.

Kenyataan tersebut menunjukkan bahawa PH senada; menginsafi keputusan PRN Sabah dan beriltizam untuk memberi keutamaan kepada reformasi institusi dalam tahun yang berbaki dalam penggal ini.

Saya terlibat dalam mesyuarat Majlis Presiden PH semalam, sudah tentu mewakili parti saya DAP.

Dan saya boleh sahkan di sini bahawa mesyuarat berlangsung dengan lancar dan tenang, dalam semangat kebersamaan dan dengan nekad untuk membuat yang terbaik. Tiada gaduh-gaduh, tiada jerit-jerit dan sudah tentu tiada ugutan.

Reformasi institusi bukan agenda DAP sahaja. Ia agenda PH sejak dari dulu lagi. Melipatgandakan usaha untuk meneruskan reformasi institusi dalam tahun yang mendatang adalah langkah untuk kembali kepada asas kekuatan – ‘back to basics.’

Masih bersama

Mungkin ramai lupa, tiga parti asas PH yakni DAP, Keadilan dan AMANAH bukan baru bersama.

Ya, memang kadangkala ada pertikaian. Ada tegur-menegur, malahan ada kecaman dan serang-menyerang antara satu sama lain. Tetapi, kami masih bersama dan akan terus bersama.

Bersatu pernah masuk, tetapi kemudian khianat. Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) pernah bersama, tetapi memilih untuk keluar.

Namun DAP, Keadilan dan Amanah bukan baru bersama – kami telah melalui pelbagai liku dan dugaan – dan setiap kali cabaran ini menguatkan lagi hubungan kami. Kami mengenali antara satu sama lain, dan menghormati segmen pengundi yang setiap parti wakili.

PRN Sabah adalah ‘wake up call’ untuk PH. Sekuat mana kita bekerja, ia tidak bermakna sekiranya kita tidak dapat menang pilihan raya.

Maka, selepas mesyuarat Majlis Presiden PH jelas bahawa PH komited untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terutama sekali mereka yang menyokong kita, supaya kita dapat menang pilihan raya dan memastikan penggal kedua untuk Pengerusi PH sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Insya-Allah.

*SYAHREDZAN JOHAN merupakan Ahli Parlimen Bangi.

BACA JUGA SPIN! Sanusi sudah MB Kedah waktu itu, ini cubaan untuk cuci tangan