‘PMX tolong selamatkan kampung kami’

Sekumpulan penduduk terdiri daripada petani dan penoreh getah di Rantau Panjang, Kelantan hari ini berhimpun merayu bantuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan permasalahan kampung mereka.

Mereka yang mewakili 20,000 penduduk dari 30 buah kampung menyuarakan kebimbangan terhadap Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.

Menurut Sinar Harian, sudah empat tahun penduduk menderita disebabkan PLSB Sungai Golok apabila perlu berdepan banjir hampir lima bulan setiap tahun bermula November hingga Mac.

Penghulu Tanpa Mukim Dun Gual Periok, Sabri Muhammad berkata, projek yang sepatutnya menyelamatkan mereka itu telah menyebabkan banjir bertambah buruk.

“Projek yang dijangkakan bakal menyelamatkan mereka itu telah menyebabkan penduduk bukan sahaja perlu berdepan banjir yang buruk sehingga menenggelamkan bumbung rumah, tetapi juga perlu menghadap banjir termenung yang mengambil masa lama.

“Sehubungan itu, penduduk hari ini ingin menuntut satu penyelesaian kekal dan menyeluruh, iaitu dengan mencadangan pembinaan segera terusan pintas (bypass) Sungai Lanchang-Lemal-Sungai Alor Mengkung,” katanya seperti dilapor hari ini.

Mereka memegang kain rentang besar tertera tulisan “PMX selamatkan kampung kami” dan “tolong kami”.

Menurut Sabri, berdasarkan dapatan kajian teknikal, terusan sepanjang kira-kira 14.2 kilometer (km) itu mampu mengalihkan aliran banjir terus ke Sungai Pengkalan Nangka dan seterusnya ke Laut China Selatan.

Beliau yakin, ia berupaya menghapuskan fenomena ‘backflow’ atau arus songsang yang menjadi punca utama banjir besar dan banjir termenung.

BACA JUGA Sanusi kata berlaku sebelum jadi MB, Supol kata masa tu dia sibuk dengar taklimat