Selepas PRN, ini barisan baharu kepimpinan UMNO Sabah
Pelantikan barisan kepimpinan baharu Badan Perhubungan UMNO Sabah diumum hari ini selaras dengan Fasal 12.5 Perlembagaan parti bagi memperkukuh penyelarasan dan gerak kerja di negeri itu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bersetuju melantik Datuk Jafry Ariffin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah yang baharu.
Turut dilantik ialah Datuk Mohd Hasnol Ayub sebagai Timbalan Pengerusi manakala Samasuddin Yusop sebagai Setiausaha.
Untuk rekod, Jafry yang menggantikan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin adalah Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkenaan sebelum ini menyandang jawatan Setiausaha UMNO negeri.
Hasnol pula yang juga Ketua UMNO Bahagian Penampang pernah menjadi Ketua Eksekutif badan penyelidikan Institute for Development Studies Sabah (IDS Sabah).
Sementara itu, Samasuddin yang merupakan pemimpin UMNO di Kalabakan merupakan calon BN di DUN Tanjung Batu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, pelantikan tersebut bertujuan memastikan kesinambungan pentadbiran parti serta memperkemas koordinasi jentera UMNO di Sabah agar lebih teratur dan berkesan.
Sehubungan itu, beliau berkata, UMNO menyeru seluruh kepimpinan dan ahli parti di Sabah untuk memberikan sokongan penuh kepada barisan baharu tersebut bagi memastikan UMNO terus berupaya memberi khidmat terbaik kepada rakyat serta menyokong Kerajaan Negeri Sabah.
BACA JUGA SPIN! Sanusi sudah MB Kedah waktu itu, ini cubaan untuk cuci tangan