78 ADUN Sabah termasuk enam dilantik angkat sumpah
Sejumlah 78 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah termasuk enam ADUN lantikan mengangkat sumpah di hadapan Speaker Datuk Kadzim M Yahya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.
ADUN Sulaman Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Ketua Menteri mendahului majlis angkat sumpah itu diikuti ADUN Kundasang Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam selaku Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi tetapi satu kerusi iaitu DUN Lamag diisytihar kosong berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu.
Selain itu, ADUN Karanaan Datuk Seri Masidi Manjun yang juga Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah turut mengangkat sumpah.
Ini diikuti ADUN Kadamaian Datuk Ewon Benedick yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah.
Tujuh ADUN yang juga Anggota Jemaah Menteri Sabah turut mengangkat sumpah iaitu Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif (Membakut), Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Rubin Balang (Kemabong), Datuk Jamawi Jaafar (Melalap), Datuk Jafry Arifin (Sukau), Datuk Nizam Abu Titingan (Apas) dan Datuk Julita Majungki (Matunggong).
Majlis angkat sumpah itu juga menyaksikan seramai 17 ADUN yang dilantik sebagai Pembantu Menteri turut terlibat termasuk Datuk Caesar Mandela Malakun yang juga ADUN lantikan.
Lima lagi ADUN lantikan yang mengangkat sumpah ialah Datuk Chin Shu Ying; Datuk Abdul Kassim Razali; Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi; Datuk Roger Chin Ken Fong dan Grace Lee Li Mei.
Ketua Pembangkang DUN Sabah merangkap ADUN Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut mengangkat sumpah.
Mohd Shafie merupakan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) yang juga Ahli Parlimen Semporna dan bekas Ketua Menteri Sabah.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi 29 daripada 73 kerusi DUN yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 pada 29 November lalu.
Ia diikuti Parti Warisan (25 kerusi), Barisan Nasional (enam), calon Bebas (lima), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) (tiga) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) (dua).
Sementara itu,Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing menang satu kerusi.
BACA JUGA Isu UEC tidak wajar dipolitikkan