Desakan Mahiaddin berundur memuncak, 14 bahagian Bersatu Perak menolak

Desakan supaya Tan Sri Mahiaddin Yassin berundur terus memuncak apabila 14 kepimpinan bahagian Bersatu Perak pula menuntut untuk memberikan laluan kepada proses pembaharuan parti.

Kesemua bahagian parti itu merangkumi Tanjung Malim, Pasir Salak, Teluk Intan, Tapah, Kampar, Gopeng, Parit, Beruas, Ipoh Timor, Padang Rengas, Bukit Gantang, Bagan Serai, Larut, dan Gerik.

Ketua Bersatu Bahagian Pasir Salak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, berkata Mahiaddin perlu mengambil tanggungjawab atas segala yang berlaku di dalam parti itu dengan bermuhasabah diri dan meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi.

Bekas Setiausaha Bersatu Perak itu berkata, keengganan Mahiaddin melepaskan kedudukannya dikhuatiri menyebabkan parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) tersebut akan ditolak di semua kawasan ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Tegsnya, dalam usia 78 tahun dan sedang berdepan tuduhan mahkamah yang masih belum selesai, perihal peribadi Mahiaddin akan menjadi liabiliti kepada Bersatu dan PN secara keseluruhannya.

“Kami berharap Tan Sri Muhyiddin mendengar rintihan dan keluhan kami. Baru-baru ini kecoh dalam Dewan Rakyat hal anak menantu Tan Sri yang hilang, dijaja serata Dewan sehingga menjadi bahan sindiran di dalam dan luar Dewan.

“Apa yang kami mahu pertahankan? Bagaimana kami perlu pertahankan? Tan Sri adalah Presiden Bersatu dan ini memberikan kesan dan imej yang tidak baik buat parti dan PN selaku parti Melayu yang dominan buat masa ini.

“YB Tan Sri Presiden boleh menjadi cerminan pemimpin yang berjiwa besar dengan mengundurkan diri secara terhormat.

“Kami tidak mahu melihat Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Najib Razak versi Bersatu,” katanya mengetuai sidang media itu.

Menurutnya, ketika seluruh negara maklum bahawa Najib Razak telah menjadi liabiliti, Muhyiddin tetap berdegil dan menaruh kepercayaan kepada individu yang salah.

Akhirnya, kata Zainol, parti menanggung akibat masalah peribadi tersebut hingga kalah dan ditolak rakyat dalam siri pilihan raya lalu.

BACA JUGA Pempengaruh jemputan sekolah di Kedah tergamak ucap ini selepas kutuk PMX