Desakan Mahiaddin letak jawatan bukan pandangan majoriti ketua bahagian Bersatu Perak?

14 Ketua bahagian Bersatu Perak mendakwa sidang media yang mendesak pengunduran Tan Sri Mahiaddin Md Yassin semalam, bukan pandangan majoriti mewakili mereka semua di negeri itu.

Ia merujuk kepada sidang media Bahagian Bersatu Pasir Salak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang menggesa Mahiaddin untuk berundur, memberikan laluan kepada proses pembaharuan parti.

Menurut kenyataan bersama dikeluarkan 14 ketua bahagian negeri hari ini, mereka tidak terlibat dalam desakan berkenaan dan mendakwa hanya sembilan daripada 24 ketua bahagian sahaja yang terlibat.

“Oleh yang demikian, kehadiran mereka adalah atas kapasiti peribadi dan tidak boleh dianggap sebagai pendirian kolektif kepimpinan bahagian di Negeri Perak,” kata mereka.

Menurut mereka, tindakan membawa isu parti ke ruang awam melalui sidang media terbuka adalah tidak wajar, mencetuskan kekeliruan dalam kalangan ahli akar umbi dan bercanggah dengan disiplin parti.

Keadaan ini kata mereka, hanya akan menguntungkan pihak lawan dan melemahkan keyakinan rakyat terhadap parti.